Bismillahirrahmanirrahim
Selawat dan salam ke atas Rasul Junjungan Mulia, Nabi Muhammad s.a.w ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Untuk post kali ini, saya ingin menukilkan sedikit tentang jahil. Jahil itu tidak tahu. Jahil bukan bodoh. Jika tak tahu, maka wajiblah kita mengambil tahu. Aib orang beria-ia nak tahu, tapi ilmu untuk mengeluarkan diri daripada kegelapan agar dapat sampai kepada Allah tidak pula mahu ambil tahu. Beginilah kita bila hati sudah tertutup daripada menerima hidayahNya.
Kata Naqibah saya dalam usrah kami minggu lepas,dalam kitab Fathul Bari ada menyebut,
“Seseorang yang terdetik dalam hatinya untuk bertanya tentang sesuatu hal berkaitan agama yang dia tidak tahu, maka wajib ke atasnya untuk bertanya dan mengambil tahu akan hal tersebut. Jika dia membiarkan sahaja keinginan untuk mengetahui itu berlalu pergi tanpa berusaha untuk bertanya, lalu dia melakukan ibadat dalam keadaan salah, maka dia telah berdosa”- ayat ni tak sama sebijik-sebijik daripada apa yang kak emma sebut, Cuma saya tulis kembali berdasarkan kefahaman saya. Jika ada tersilap, sila betulkan.
Detikan hati untuk mengetahui itulah hidayah Allah s.w.t untuk mengeluarkan hambanya daripada kejahilan agar terlihat luas jalan untuk menuju kepadaNya. Namun jika hati melayan perasaan malu yang tak bertempat, takut diperkatakan oleh orang lain, takut dianggap bodoh ,takut nanti semakin susah nak wat ibadat, takut kepada segala benda selain Allah. Itulah penghalang kita untuk melihat jalan menuju Allah. Sudah tahu tidak tahu, tapi malas bertanya. Malas berusaha untuk menyempurnakan kecacatan dalam ibadah. Kemudian memberi alasan kepada hati,
“takpe, aku tak tahu. Allah akan memaafkan hambaNya yang tak tahu. “
Bertepuk tanganlah syaitan kerana kejayaannya menyesatkan manusia.Itulah tipu daya syaitan, semakin kita ikut ‘nasihat’ nya, semakin jauhlah kita dari Allah..
Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap muslim. Memang orang jahil akan dimaafkan Allah kerana hidayah belum sampai kepada mereka. Tapi Allah tidak akan mengampunkan mereka yang sengaja membiarkan diri tidak tahu walaupun sudah terdetik dalam hati untuk tahu. Sengaja menutup hati daripada menerima hidayahNya.Maka selalulah bertaubat dan beristighfar sebanyak mungkin.
Mungkin sekali kita selalu membiarkan hidayah Allah berlalu pergi. Mungkin sekali Allah murka kepada kita namun kita tidak menyedarinya. Sepertimana baju yang hitam, jika terkena palitan kotoran pun susah untuk kelihatan, kerana itulah tidak rasa malu. Begitulah hati kita, jika sudah gelap kotor kerana dosa, mana mungkin dapat melihat dosa-dosa lain yang dilakukan.Kerana itulah tidak ada rasa malu kepada Allah sebagaimana tidak malu kita berhadapan manusia dengan baju berwarna hitam yang kotor.
Ketika solat terlintas dalam hati,
“Eh, tadi aku tak sempat habiskan fatihah, tapi aku rukuk sekali ngan imam.Kan fatihah tu rukun, tak sempurna rukun tak sah la solat,Allah tak terima.Sah ke solat aku tadi?”
Lalu cepat-cepatlah bertanya kepada ahli ilmu. Ahli ilmu agama bukanlah mereka yang belajar agama di university Al-Azhar sahaja. Ahli ilmu itu adalah orang yang mengetahui sesuatu ilmu itu berlandaskan kefahaman para ulama’ yang berterusan sanadnya kepada Rasulullah s.a.w. Seseorang ahli ilmu itu sewajibnya mempunyai perasaan takut, takut jika salah ilmu yang disebarkannya. Dia lebih rela dikatakan jahil oleh masyarakat daripada menyebarkan ilmu yang salah kerana takutkan azab Allah. Ahli ilmu itu tidak akan segan memberitahu “maaf, saya tidak tahu, nanti saya rujuk balik”..Ahli ilmu akan menekankan keberkatan dalam ilmu, kerana dengan keberkatan, nescaya terselamat kita daripada tipu daya syaitan, terbuka luas jalan mendapatkan cinta Allah.
Jika tiada ahli ilmu di sekeliling kita, maka mintalah kepada Allah agar mengurniakan taufiq hidayahNya kepada kita. Mintalah kepada Allah agar melindungi kita daripada tipu daya syaitan laknatullah.
Ilmu itu akan mengeluarkan kita daripada kegelapan. Bertanya itulah kunci ilmu. Ilmu yang berkat adalah ilmu yang dituntut bertujuan untuk tahu dan amal, untuk mendapatkan redha Allah, selain menjaga adab-adabnya..Semakin tahu sesorang itu, semakin banyak persoalan yang akan bermain di fikirannya, semakin perlu dia kepada ilmu, semakin kenal dia akan Allah s.w.t, semakin bertambah cinta kepada Allah dan kepada RasulNya. Ilmu yang berkat akan selalu menyelamatkan sesorang itu daripada tipu daya syaitan. Ilmu yang berkat itulah ilmu warisan Nabi kita, Rasulullah s.a.w, pembawa rahmat sekalian alam. Cahaya yang menerangi sekalian makhluk di muka bumi.
Wallahua’lam
Barakallahufikum.ameen ya Allah.