Menjejak usia ke 20 an, tidak lari dan tidak lain tidak bukan, soalan yang pasti kedengaran, “bila lagi giliran awak?” “awak dah berpunya ke?” “bila lagi nak makan nasi minyak”.
Huh. Persoalan tentang perkahwinan. Pelbagai jenis bentuknya.
Pasti. Peluh besar.
Sejak akhir-akhir ini juga kita sering di dedahkan dengan berita-berita mereka yang bertemu jodohnya awal di laman-laman sosial. Khususnya facebook.
Lagi bertambah-tambah ujiannya apabila tidak ketinggalan apabila ada antara yang menjadi pemerhati di situ mempunyai keinginan untuk mengikut jejak langkah, walaupun tidak berkemampuan lagi.
Perasaan cemburu dengan melihat
kebahagian orang lain dalam perkahwinan pastinya bukan sesuatu yang
asing. Nak-nak lagi apabila suka untuk dihebahkan perihal indahnya
bercinta selepas perkahwinan.
Bukanlah menjadi kesalahan sebenarnya. Kerana itu mungkin hak privasi mereka yang suka untuk berkongsi dengan masyarakat umum.
Nasihat buatku juga untukmu..
Bersabarlah dalam menunggu waktu bahagia kita.
Kerana sampai saatnya kita juga akan
menempuhinya. Cuma bila dan di mana, sampai saatnya ini tetap menjadi
rahsia Dia Yang Maha Agung kerana Dia ingin kita ‘membina’ diri kita
selengkapnya sebelum menjejaki ‘alam’ yang indah itu.
Bersangka baiklah denganNya Yang Maha
Pengasih. Dia belum izinkan untuk kita berada dalam ikatan yang suci
bersama pasangan yang kita nikahi kerana Dia ingin kita bercinta
denganNya secara eksklusif tanpa gangguan daripada sesiapa.
Dia ingin kita menghabiskan waktu-waktu
malam kita yang sunyi dengan hanya merintih dan berkasih padaNya yang
satu tanpa gangguan dari sesiapa.
Ingatkah kita tentang ayat ini :
Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala Yang besar. [64:15]
Dikhuatiri sekiranya kita belum lagi
siap membina diri kita, kita tidak mampu membina keluarga yang sakinah
dan mawaddah. Nikmatilah masa ‘single’ ini sepuasnya untuk kita
memperbaiki iman.
Bagaimana mahu menjadi imam, jika solat pun kita sering lengahkan?
Bagaimana mahu menjadi tangan yang
menghayun buaian bisa menggoncang dunia, andai pengurusan jadual
kehidupan dan diri sendiri pun masih tunggang terbalik?
Tidak cukup lagi. Ada lagi masalah emosi
yang perlu dibaiki. Kehidupan berumahtangga itu menemukan antara dua
jiwa. Mekah dan Madinah.
Bagaimana kita mahu bertindak menjadi
isteri dan suami yang soleh dan solehah andai emosi diri dan pemikiran
kita juga masih berada dalam tahap yang tidak bisa di kawal?
Ketap bibir.
Nak lagi?
Bagaimana pula tanggungjawab kita dengan ibu bapa kita sendiri? Sudah tertunaikah semuanya? Bersangka baiklah dengan Allah Yang Maha Alim.
Dia inginkan kita yang masih ‘single’
ini untuk terus berbakti kepada kedua ibu bapa kita tanpa perlu
memikirkan perihal yang lain. Bukankah apabila kita memudahkan urusan
kedua ibu bapa kita, Allah juga akan mudahkan urusan kita?
Sampai saatnya, Allah pasti akan gantikannya dengan rezeki perkahwinan kita.
Ada lagi?
Ya. Masalah umat. Sebarkanlah dakwah.
Infakkanlah diri kita dalam jalan dakwah. Dengan kita mengajak orang
lain amar makruf nahi munkar, harap-harapnya akan menjadi satu saham
yang dinilai oleh Allah di sana nanti.
Allah berfirman : Wahai orang-orang Yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.
Di harapnya dengan pertolongan kita di jalan Allah, Allah juga akan menolong kita dalam urusan jodoh kita.
Percayalah, apabila kita berusaha bersungguh dalam medan dakwah ini.
Kita jatuh cinta. Cinta pada si dia akan hadir kemudiannya.
Ini adalah hadiah buat hati yang sedang menunggu saat lafaz sakinah.
Bersabarlah. Kerana Allah tidak
pernah beri sesuatu yang bukan pada tempatnya. Sampai saatnya nanti kita
juga pasti mampu tersenyum bersama memandang bulan dan bintang bersama
si dia yang halal.
Hadiah. Untukmu.