Berita yang amat sedih dan memilukan, tragedi rumah anak yatim tertimbus di Ulu Langat, terbaca tadi di Berita Harian. Kejadian tanah runtuh ni berlaku petang tadi, kira kira jam 2.30 petang. Seramai 24 orang penghuni sedang bersiap siap untuk menerima ketibaan rombongan FINAS yang dijadualkan makan tengah hari dan beramah mesra dengan anak yatim.
Ketika kejadian, 24 orang berada di bawah khemah untuk majlis makan tengah hari itu. Rumah anak yatim berkenaan mempunyai 34 penghuni, semuanya lelaki.
Setakat jam 8 malam ini, dari 24 yang tertimbus, 5 penghuni maut dan enam pula cedera parah. 12 orang berjaya diselamatkan.
“Saya nampak kawan-kawan yang berada bawah khemah sudah tertimbus, cuma nampak tangan dan kepala mereka. Semuanya terkambus.
“Masa yang sama, ketika saya menoleh ke belakang ternampak tanah runtuh seperti mengejar saya,” katanya.
Ketika kejadian 2.30 petang, semua penghuni rumah anak yatim itu berada di dewan serbaguna untuk persiapan satu majlis yang dijadual 5 petang.
Runtuhan tanah dari bukit itu dikatakan menimbus dewan serbaguna yang terletak di lereng bukit itu menyebabkan bangunan setingkat itu musnah sama sekali. Turut terkena runtuhan tanah itu ialah sebuah surau.
“Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri,” kata Tun Hisan pada sidang akhbar di tempat kejadian.
Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengeluarkan mayat pertama 4.30 petang, diikuti mayat kedua setengah jam kemudian dan mayat ketiga dikeluarkan pada 6.10 petang.
Penolong Pesuruhjaya Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Morni Mamat, berkata sehingga 7 petang ini operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan hujan lebat.
Berita dari Selangor Kini:
Kira-kira 20 hingga 30 penghuni sebuah rumah anak yatim di Sungai Gahal, Ulu Langat dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh pada jam 2.20 petang tadi.
Dua mayat kanak-kanak penghuni rumah anak yatim sudah dibawa keluar dari tempat kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim Al-Takwa, FELCRA Semungkis sebentar tadi.
Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang ketika dihubungi berkata, setakat ini tiga kanak-kanak berjaya diselamatkan.
Beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan bilangan penghuni yang terkorban dalam kejadian itu.
Sebelum ini, kira-kira 20 hingga 30 penghuni rumah terbabit dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh pada jam 2 petang tadi.
Gambar tragedi tanah runtuh di rumah anak yatim Ulu Langat
1 comment:
Allahuakbar... semoga insan yg pergi itu ditempatkan pada golongan beriman dan para sahabat Rasulullah.. Al-Fatihah...
Post a Comment