Monday, December 30, 2013

Panduan di Rumah Mertua

Berikut adalah panduan dan tip daripada Pak Utih, khas untuk Gen Y yang telah berkahwin, apabila bertandang ke rumah mertua masing-masing.

Panduan Suami Gen Y melayani Ayah Mertua
Panduan menghormati dan melayani Ayah Mertua generasi “Baby boomer”. Isteri Gen-Y WAJIB menerangkan secara terperinci aktiviti atau budaya ayahnya (ayah mertua kepada suaminya) seharian kepada suaminya.
Contoh: Kebiasaan ayah bangun sebelum subuh dan pergi ke masjid dengan kereta. Selepas subuh Ayah singgah kedai kuih untuk dibawa balik ke rumah. Sambil menunggu Mak sediakan minuman, ayah baca al-Quran di sofanya. Sekitar jam 7 pagi, Ayah dan Mak sarapan bersama. Kemudian Ayah ke kebun di belakang rumah. Waktu dhuha, Ayah naik ke rumah dan terus ke pekan membeli ikan dan sayuran untuk di masak oleh Mak. Mereka makan tengahari selepas Ayah solat Zohor di masjid. Petang-petang Ayah dan Mak berkebun bunga dan atau menyapu laman rumah. Maghrib, Ayah ke masjid hinggalah ke Isyak. Pulang dari masjid, barulah makan malam bersama-sama. Mak dan Ayah bersembang panjang selepas makan malam dan kekadang mereka menonton TV bersama. Masuk tidur jam 11 malam.

Suami Gen Y mesti memahami dan mengikuti budaya seharian ayah mertuanya ini. Ini terdapat dalam Al-Qasas: 27, hubungan Nabi Musa AS dengan ayah mertuanya:



Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): “Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama delapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku Insya Allah, dari orang-orang yang baik layanannya”.
Berdasarkan maklumat budaya ayah mertua ini, jika Suami Gen Y ini bertandang di rumah ayah mertuanya:
1. Wajib dia bangun awal dan tunggu Ayah Mertuanya di tepi kereta untuk bersama-sama solat subuh di masjid. Ayah Mertua tidak sampai hati untuk mengetuk pintu bilik menantu ajak ke masjid.
2. Sekembali dari masjid, Suami Gen Y belikan sendiri kuih untuk sarapan pagi. Paling afdhal ialah tiga hari pertama berada di rumah ayah mertua itu, melainkan Ayah Mertua bertegas dia yang belikan.
3. Sarapan bersama-sama dan duduk di kerusi atau bersila atas lantai awal-awal sebelum ayah mertua datang. Jangan benarkan Ayah Mertua menunggu anak menantu untuk memulakan sarapan. Ini adalah satu adab menghormati orang tua di meja sarapan.
4. Suami Gen Y meminta kebenaran untuk bangun atau tunggu ayah mertua bangun daripada kerusinya selepas makan. Juga salah satu adab menghormati orang tua di meja makan.
5. Suami Gen Y menawarkan diri untuk ke pasar membeli sendiri barangan memasak untuk makan tengahari. Terutama sekali pada tiga hari pertama.
6. Setiap kali masuk waktu solat ke masjid, tunggu Ayah Mertua di keretanya. Melainkan kereta anda memang bersih dan harum, maka pelawalah Ayah Mertua menaiki kereta anda. Tunggu dia di kereta, bukan Ayah Mertua yang tunggu anda di keretanya. Pendekkan wirid kerana ini lebih afdhal.
7. Bersedialah dengan kisah-kisah diri sendiri dan soalan-soalan untuk dijawab atau diceritakan oleh Ayah Mertua semasa sesi bersembang selepas makan malam itu. Waktu ini HARAM (dilarang) membelek tab, smartphone, iPad dan sewaktu dengannya.
8. Amatlah digalakkan Suami Gen Y pergi melihat Ayah Mertua di kebun bertanyakan mengenai hal ehwal kebun dan bungaannya pada hari pertama. Pada hari berikutnya, digalakkan membantu dia menyapu, menyangkul, merumput dan sebagainya untuk mengeratkan lagi talian Gen Y dengan "Baby boomer".

Panduan Isteri Gen Y melayani Ibu Mertua
Panduan ISTERI Gen Y menghormati dan melayani IBU mertua generasi “Baby boomer”. Suami Gen-Y WAJIB menerangkan secara terperinci aktiviti atau budaya ibunya (ibu mertua kepada isterinya) seharian kepada Isterinya.
Contoh: Kebiasaan ibu bangun sebelum subuh, solat dan ke dapur menyiapkan sarapan pagi. Sekitar jam 7 pagi, Ayah dan Mak sarapan bersama. Kemudian Ibu membasuh kain baju. Sementara tunggu Ayah kembali dari pekan, ibu mengemas dalam rumah, menyapu sampah hingga ke halaman.  Sekitar jam sebelas pagi, ibu mula memasak untuk makan tengahari.  Mereka makan tengahari selepas ayah solat Zohor di masjid. Petang-petang Ayah dan Mak berkebun bunga dan atau menyapu laman rumah. Ibu menyediakan minum petang dan sedikit kudapan selepas mereka berkebun. Biasanya menikmati juadah petang di beranda rumah menghadap ke kebun. Ayah pulang dari masjid barulah makan malam bersama-sama. Mak dan Ayah bersembang panjang selepas makan malam dan kekadang mereka menonton TV bersama. Sebelum masuk tidur, ibu membasuh semua pinggan mangkuk, kuali, periuk, belanga dan dapurnya bersih sebersihnya.
Isteri Gen Y mesti memahami dan mengikuti budaya seharian IBU mertuanya ini. Berdasarkan aktiviti ibu mertuanya ini, maka berikut adalah tip untuk menghormati ibu mertuanya. Jika Isteri Gen Y ini duduk di rumah Ibu mertuanya:

1. Wajib dia bangun awal dan dengar isyarat atau bunyi yang ibu mertuanya telah ada di dapur. Terus ke dapur bersama ibu mertuanya. Tawarkan diri untuk membantu ibu mertua menyediakan sarapan pagi.
2. Waktu yang sama, perhati dan ingatkan kedudukan semua bahan-bahan masakan yang disimpan oleh ibu mertua. Ini memudahkan isteri mengambilnya jika dia memerlukan bahan-bahan itu.
3. Jika Isteri Gen Y tadi dapati ada bahan-bahan masakan yang telah habis, bolehlah bisikkan kepada suaminya untuk membeli bahan-bahan itu.
4. Perhatikan cara Ibu Mertua menghidangkan sarapan dan tiru cara itu pada hari-hari berikutnya.
5. Jika Isteri Gen Y dapati cara bancuhan makanan atau minuman oleh Ibu Mertuanya itu dia tidak pernah lihat, maka jangan berat mulut untuk meminta ibu mertua mengajarnya. Pelajarilah hingga mahir seperti mana bancuhan ibu mertua itu. Tujuannya agar masakan isteri Gen Y nanti serupa dengan ibunya.
6. Selesai sarapan, Isteri Gen Y lah yang membasuh pinggan mangkuk dan kemaskan meja makan itu. Melainkan dilarang oleh ibu mertua. Sambil ibu mertua membasuh pinggan mangkuk, isteri Gen Y kembali ke bilik tidurnya, kemas dengan rapi, dan terus ke ruang utama (tetamu) dan kemaskan serta sapu sampah hingga ke halaman. Perhatikan cara ibu mertua mengemas pada hari pertama sahaja. Hari-hari yang berikutnya, isteri Gen Y lah yang membuatkannya.
7. Bantu juga ibu mertua menyediakan makanan untuk makan tengahari di dapur.
8. Isteri Gen Y menyediakan minum dan kudapan petang untuk Ayah dan Ibu mertuanya.
9. Duduk bersembang bersama keluarga selepas makan malam hinggalah ayah dan ibu mertua minta diri untuk berehat.
10. Pastikan Isteri Gen Y yang basuh semua pinggan mangkuk dan mengemas dapur setiap malam.
11. Masa yang sesuai untuk baca e-mel atau pesanan di smartphone, tab atau laptop ialah semasa ibu dan ayah mertua di dalam bilik tidur masing-masing. HARAM (dilarang) menggunakannya semasa sarapan pagi, makan tengahari dan semasa sesi bersembang.

Selamat Mencuba.

Pak Utih terima kasih atas perkongsian ini

Nota 1: Bagi perempuan, setelah berkahwin ketaatan  untuk suami adalah yang utama dan menggantikan ibu dan ayah kita, diikuti ibu dan ayah suami dan barulah ibu bapa kita. Buat kawan-kawan yang sudah mendirikan baitul muslim atau dalam perancangan ke arah itu, moga entry kali ini berguna untuk kalian.
Nota 2: Bagi lelaki, jangan anda abaikan ibu bapa anda setelah berkahwin kerana mereka masih tanggungjawab anda.

Wednesday, December 25, 2013

Hamba Dunia

Cukup-cukuplah jadi hamba dunia. Jangan jadi macam orang tak cukup perhatian dan kasih sayang. Tak perlu buat sesuatu untuk tarik perhatian dan mengharapkan pujian manusia.

● Ada rupa cantik, jaga diri dari jadi bahan tatapan umum --> dapat pahala.

● Ada duit banyak, sedekah senyap-senyap. Tak yah bagitahu orang lain --> dapat pahala.

● Ada akal yang bijak, fikir macam mana nak majukan orang islam --> dapat pahala.

● Ada pangkat besar, tolong aplikasikan nilai-nilai islam di tempat kerja --> dapat pahala.

》 Yang penting buat kerana Allah...

Tuesday, December 24, 2013

Come Back Stronger!



Bila aku sedih, kecewa sehingga menitis air mata kerana perbuatan manusia, hanya satu perkara yang membuatkan aku bangkit dari semua itu.... hanya dengan bisikkan pada hati "Allah ada dengan aku, Aku tidak tahu Allah ada dimana, tapi aku tahu Allah dekat dengan aku.

Saat kamu tidak punya siapa-siapa selain Allah,

Allah itu lebih dari cukup ;)