Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Monday, September 05, 2011

Puasa Sunat Dalam Islam

Assalamualaikum wbt ...
 
Di sini saya akan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai puasa-puasa sunat yang disyariatkan dalam Islam dan kelebihannya apabila kita semua mengamalkannya.Semoga kita bersama-sama mendapat manfaat darinya. Berikut merupakan puasa sunat yang dinyatakan dalam Al-Quran dan hadis:

Puasa Isnin dan Khamis

Saidatina Aisyah r.a, isteri Nabi Muhammad s.a.w menceritakan : "Rasulullah s.a.w selalu bersungguh- sungguh untuk berpuasa pada hari Isnin dan Khamis." (Sahih Sunan Al- Tarmizi) Abu Hurairah meriwayatkan : Nabi Muhammad s.a.w berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.Lalu ada yang bertanya, "Sesungguhnya engkau sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis?

Baginda menjawab, " dibuka pintu-pintu dari syurga pada hari Isnin dan khamis lalu diampuni (dosa) setiap orang yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun kecuali dua orang yang saling bergaduh, dikatakan:biarkan mereka berdua sampai mereka berbaik semula.
(HR Al-Tirmizi, Ibnu Majah)

Puasa Nabi Daud
Kita semua boleh juga berpuasa selang- sehari berturut-turut dalam seminggu.
Rasulullah s.a.w bersabda : " Puasa yang paling disukai Allah S.W.T ialah puasa Nabi Daud a.s....beliau berpuasa sehari dan berbuka sehari."
(Sahih Al-Bukhari)

Puasa 3 hari dalam sebulan
Berdasarkan hadis Abdullah bin Amr bahawa Rasulullah s.a.w berkata padanya:
"dan sesungguhnya cukup bagimu berpuasa tiga hari dalam setiap bulan, kerana sesungguhnya bagimu pada setiap kebaikan mendapat sepuluh kali semisalnya, maka itu sama dengan berpuasa setahun penuh".
Juga diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.a bahawa beliau ditanya oleh Mu'adzah Al-Adawiyyah: "Apakah Rasulullah sentiasa berpuasa 3 hari dalam sebulan? Maka beliau menjawab, "Ya". Lalu ditanya lagi,"Pada hari yang mana dalam bulan tersebut? ". Aisyah menjawab, " beliau tidak kisah dihari yang mana dari bulan tersebut ia berpuasa." (HR Muslim)

Namun jika kita ingin mengamalkan yang lebih utama lagi, kita dianjurkan untuk berpuasa pada pertengahan bulan hijriyyah, 13,14 dan 15.Berdasarkan hadis daripada Abu Dzar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
" Wahai Abu Dzar jika engkau mahu berpuasa 3 hari dalam sebulan maka berpuasalah pada 13,14 dan 15 hari bulan. "

Puasa 1-9 Zulhijjah (9 Zulhijjah- Hari Arafah)

Berdasarkan hadis dari Abu Qatadah r.a bahawa Rasulullah s.a.w ditanya tentang puasa pada Hari Arafah, Baginda menjawab, "Menghapus dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang."

Namun begitu bagi jemaah haji yang sedang wukuf di Padang Arafah tidak dianjurkan berpuasa pada hari itu.

Puasa dalam bulan Muharram khususnya 10 Muharram (Hari Asyura)
Bulan Muharram merupakan bulan yang digalakkan untuk memperbanyak puasa padanya.Hadis Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.aw. bersabda,
"puasa yang paling afdhal setelah bulan Ramadhan adalah bulah Allah, Muharram...dan solat yang paling afdhal setelah solat wajib adalah solat malam." Diantara hari- hari dalam bulan tersebut, kita semua lebih digalakkan untuk berpuasa pada 10 Muharram kerana hari itu merupakan Hari Asyura.

Hadis dari Saidatina Aisyah r.a, " Adalah Rasulullah s.a.w memerintahkan (perintah yang mewajibkan) puasa pada Hari Asyura. Maka apabila telah diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan, maka siapa yang ingin berpuasa pada Hari Asyura maka silakan dan siapa yang ingin berbuka juga dibolehkan".Riwayat Muslim dari hadis Abu Qatadah juga menyatakan apabila Rasulullah ditanya tentang puasa Asyura, Baginda berkata, "menghapus dosa setahun yang lalu."

Puasa sunat di bulan Rejab dan Syaaban
Hadis riwayat daripada Saidatina Aisyah r.a juga menyatakan,
"Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w menyempurnakan puasa sebulan penuh kecuali Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat beliau berpuasa yang lebih banyak daripada bulan Syaaban".

Namun kita tidak dibolehkan untuk berpuasa pada hari-hari terakhir bulan Syaaban iaitu 2 atau 3 hari sebelum Ramadhan.Kecuali bagi mereka yang selalu berpuasa pada hari Isnin dan Khamis, lalu hari-hari akhir itu bertepatan dengan hari Isnin atau Khamis dibolehkan.
 
Rasulullah s.a.w bersabda, "Janganlah kalian mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari dan dua hari, kecuali sesorang yang biasa berpuasa pada hari itu maka boleh baginya berpuasa." (HR Muslim)

Bagi bulan Rejab, bulan ini termasuk dalam bulan Haram yang disebut oleh Allah S.W.T dalam Surah At-Taubah: 36 iaitu, Rejab, Zulqaedah Zulhijjah dan Muharram...Inilah bulan yang mempunyai fadhilat.

Puasa 6 hari dalam bulan Syawal
Dari Abu Ayyub r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: "Siapa yang berpuasa Ramadhan dan melanjutkannya dengan 6 hari dalam bulan Syawal, maka itulah puasa seumur hidup". (HR Muslim)

Sebelum itu, kita perlu pastikan puasa wajib Ramadhan kita sudah lengkap.Jika kita tertinggal beberapa hari puasa wajib dalam bulan Ramadhan,kita harus mengqadha'nya terlebih dahulu dan kemudiannya barulah kita boleh mengerjakan puasa sunat dalam bulan Syawal.Ianya akan menjadi lebih afdhal kerana kita mendahulukan yang wajib dan barulah yang sunat.Terdapat juga sesetengah pendapat yang mengatakan kita boleh meniatkan keduanya sekali dalam satu puasa.Namun, adalah lebih baik jika kita mengasingkannya kerana ini akan memperbanyakkan lagi amalan kita kepada Allah S.W.T. :)

Nabi Muhammad s.a.w juga bersabda,"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun".(Hadis Al-Tirmizi,An-Nasaie, Ibnu Majah)

Imam At-Thabrani juga ada mengeluarkan dalam susunan hadisnya, "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya puasa enam hari dalam bulan Syawal, keluarlah dari dirinya segala dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya."


Diharapkan agar kita semua lebih memahami dan tidak keliru mengenai puasa-puasa sunat dalam Islam. Kita boleh mengerjakannya tanpa rasa ragu-ragu.Semoga iman kita semua lebih meningkat dan bertambah baik apabila kita mengerjakan ibadat puasa sunat ini sebagai pelengkap amalan kita.InsyaAllah.
:)

Nota 1: Sedang berkira-kira hendak buat puasa 6, 'tetapi teman baik' 'will be projected tomorrow'..takpe, bulan syawal ada 30 hari kan...

Saturday, May 21, 2011

Lelaki Bertaqwa


Islam juga memberi panduan kepada kaum wanita dalam memilih bakal suami mereka. Hal ini disebabkan aspek memilih jodoh bukanlah perkara yang boleh dipandang mudah. Ia tidak boleh dilakukan dengan terburu-buru atau tanpa penilitian yang mendalam. Ini disebabkan perkahwinan melibatkan soal kehidupan, zuriat, hak, tanggungjawab dan kasih sayang yang bakal kita jalani bersama dengan pasangan.

Lebih-lebih lagi bagi seorang wanita, ia perlu menyelidik terlebih dahulu latar belakang bakal suaminya dari segi akhlak serta penghayatan agamanya. Ini kerana menurut kajian, kaum wanitalah yang paling teruk menerima kesan buruk apabila suami mengabaikan hak isteri, tidak mempergauli isteri dengan baik, curang, tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga dan sebagainya.

Adalah menjadi kewajipan ibu bapa memberikan panduan yang baik bagi anak-anak perempuan mereka mencari bakal suami dari kalangan lelaki yang berakhlak tinggi dan taat pada ajaran agama. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika seorang lelaki datang untuk meminang anak perempuan kamu dan kamu redha (berpuas hati) tentang agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia (dengan anak perempuan kamu). Jika hal itu tidak kamu lakukan, akan berlakulah fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar”.

Sesungguhnya sifat-sifat inilah (baik akhlak dan agama) yang mesti dijadikan kriteria utama di dalam memilih bakal suami sebelum dilihat atau dipilih pada sudut harta, pangkat dan kedudukan lelaki tersebut. Lelaki yang sederhana kehidupannnya tetapi berakhlak mulia serta taat melaksanakan segala perintah Allah SWT dan rasul-Nya itulah sebenarnya seorang yang kaya, sebaliknya lelaki fasik (ingkar kepada suruhan Allah SWT ) walaupun hidup kaya raya, hakikatnya ia adalah miskin.

Mengapa demikian? Kerana kefasikan hidup akan melesapkan harta kekayaan melalui aktiviti perjudian, minuman keras, berkunjung ke tempat-tempat maksiat, berfoya-foya dan sebagainya. Hak-hak isteri dengan sendirinya hilang dan terabai. Isteri hidup dalam tekanan perasaan kerana tanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak dilupakan. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis di atas sebagai “fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar”.

Suami yang hidup dalam kefasikan bermakna mengundang murka Allah SWT. Jika Allah SWT sudah murka, bagaimanakah rahmat dan keberkatan hidup berumahtangga akan dapat dinikmati?

Diriwayatkan dalam sebuah kisah, seorang lelaki datang menemui Hasan bin Ali RA (cucu Rasulullah SAW) untuk meminta nasihat. Katanya, “Anak perempuanku dipinang oleh beberapa orang lelaki. Dengan lelaki yang bagaimanakah yang layak dikahwinkan dengan puteriku?” Hasan menjawab, “Kahwinkanlah dia dengan lelaki yang bertakwa kepada Allah, kerana jika ia menyukai isterinya ia pasti mengasihinya, tetapi jika ia tidak menyukai isterinya pasti ia tidak akan berlaku zalim terhadapnya (tetap menghormati isterinya)”.

Prof. Dr. Miqdad Yaljan dalam bukunya bertajuk “al-Bayt al-Islami Kama Yanbaghi An Yakun” menulis: Soal perkahwinan adalah persoalan hidup keseluruhannya. Lebih-lebih lagi kaum wanita dalam membuat penelitian terhadap bakal suami. Ini kerana kuasa talak terletak di tangan suami mereka.

Menurut beliau lagi, sekiranya perceraian berlaku, ia akan lebih mendatangkan kemudaratan kepada wanita berbanding lelaki sama ada dari sudut sosial, psikologi dan ekonomi. Tambahan lagi pandangan negatif sesetengah masyarakat kepada wanita bergelar janda menambahkan lagi tekanan perasaan mereka. Malah perasaan malu akibat perceraian lebih dirasai oleh golongan wanita berbanding lelaki.

Rasulullah SAW juga amat benci kepada mana-mana bapa (atau wali) yang mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang fasik. Baginda mengingatkan dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang menikahkan anak perempuannya dengan lelaki fasiq bererti ia telah memutuskan hubungan silaturrahim dengan anaknya sendiri”.

Lihatlah betapa tegasnya Rasulullah SAW dalam menggesa para ibu bapa agar mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang beriman dan menjauhi dari mengahwinkannya dengan lelaki yang fasik.

Apakah fitnah atau malapetaka yang lebih besar selain daripada menikahkan anak-anak yang berjiwa bersih, berperibadi mulia dan taat menjalankan suruhan agama dengan lelaki yang tidak menghiraukan perintah Allah SWT dan bergelumang pula dengan maksiat?

Kita melihat bahawa berapa ramai anak-anak perempuan yang ketika berada di bawah naungan keluarganya tidak pernah melakukan maksiat, tetapi apabila berkahwin dengan lelaki fasik, mereka terus hanyut dalam arus maksiat yang diterajui oleh suami mereka sendiri.

Gadis yang pada mulanya berperibadi mulia, akhirnya terseret jauh oleh kesesatan suaminya. Memakai pakaian yang mendedahkan aurat, meninggalkan solat dan bentuk-bentuk ibadah lainnya. Semua ini jelas merupakan kerugian yang nyata sekali bagi dirinya.

Oleh sebab itu, amat wajarlah Rasulullah SAW menghukum mana-mana bapa atau wali yang mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang fasik, yang seolah-olah dia memutuskan hubungan silaturrahim dengan anak perempuannya sendiri.

Kesimpulannya, kaum wanita perlu lebih teliti dan berhati-hati dalam soal pemilihan jodoh. Ini kerana perkahwinan bukanlah kontrak perniagaan yang berorientasikan keuntungan semata-mata, tetapi ia merupakan “ikatan sosial” yang merangkumi pelbagai aspek kemanusiaan seperti pertalian jiwa, kasih sayang, ketenangan hati, tuntutan biologi, nasab keturunan, hak, tanggungjawab, toleransi dan sebagainya.

Hayatilah firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki mahupun perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dengan limpah kurniaan-Nya, kerana Allah Maha Luas rahmat-Nya lagi Maha Mengetahui”. (an-Nur: 32).

Saturday, May 14, 2011

Tips Kejayaan dalam Surah Al-Mu'minuun.

Tergerak hati untuk share tafsir ni yang saya dapat dari note FB seorang kenalan rapat saya. Moga bermanfaat buat kita semua, insya Allah.....

Tips-tips kejayaan yang Allah dah titipkan dalam permulaan surah Al-Mu'minuun. Meh kita tadabbur sama-sama jom!

1. Keyakinan, kepercayaan and having faith in Allah, His Mercy and His Help.
"Sesungguhnya BERJAYALAH orang-orang yang beriman." [23:1]
Iman dan kejayaan disebut oleh Allah dalam ayat yang sama. Maka imanlah faktor utama kejayaan. Dan keyakinan yang tinggi inilah yang akan melahirkan attitude seterusnya yang bakal disebutkan dibawah.

2. Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati.
"iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya." [23:2]
Do one thing at a time. Jangan mencapah dan melayang fikiran ke sana ke mari. Be passionate in it. Bukan sambil lewa.

3. Prioritise
"dan orang-orang yang menjauhkan diri dari lagha (perbuatan dan perkataan yang tidak berguna)." [23:3]
Kebiasaannya dalam menghadapi musim peperiksaan yang penuh pressure, kita cenderung untuk berehat dan menenangkan minda dengan hiburan, movies, korean series, games, facebook dll sehinggakan selalu sahaja melebihi daripada masa rehat yang telah kita peruntukkan. Sebaik-baiknya kita mengoptimumkan penggunaan masa untuk belajar, dan mengisi masa rehat kita dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti menyediakan makanan aka memasak (supaya tak makan maggie je selama 2minggu), membasuh, melipat atau menggosok baju, bersenam untuk melancarkan perjalanan darah di dalam badan dan bermacam-macam lagi yang anda sendiri lebih sedia maklum. However, the best thing to do during your break is to take wudhu', solat hajat or recite Quran so that we will be closer to Allah, therefore our hearts will be at peace and calm state no matter how hard is the exam. plus, do avoid complaining, whining, mengumpat lecturer dsb kerana perkara-perkara sebegini tidak mendatangkan faedah kepada masa depan anda, tidak menambahkan markah untuk kertas peperiksaan yang bakal/telah diduduki malah boleh mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah nauzubillah.

4. Care about each other
"dan orang-orang yang menunaikan zakat." [23:4]
Walaupun sedang berada di saat-saat genting, janganlah kita bersikap terlalu mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih susah di sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, be it knowledge, past year papers, or even just food. Sharing is caring.

5. Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan
"dan orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba) dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari dibalik itu, mereka itulah orang-orang yang melampaui batas." [23:5,6,7]
Janganlah kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan study berdua-duan, kemudian pulang ke rumah berpimpin tangan, atau asal tension je mesti nak bergayut atau berchatting dengan kawan lelaki/perempuan anda. Padahal Allah kan sentiasa ada, sentiasa melindungi, sentiasa menolong...jika kita mencari dan meminta padaNya.

6. Jujur, amanah
" dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya." [23:8]
Bukankah kita telah berjanji dengan pihak sponsor dan dengan ibu bapa kita untuk belajar bersungguh-sungguh dan score well in our exam? Lebih penting lagi, bukankah kita telah berjanji dgn Allah untuk memanfaatkan peluang kehidupan sebagai seorang pelajar yang telah dipinjamkanNya kepada kita sebagai medan untuk kita mengutip ilmu,pengalaman dan pahala buat bekalan di akhirat sana insyaAllah.
Please, no cheating in term of time, especially dalam dewan peperiksaan. Stop writing immediately when you are told to do so. Instead, its time to say "Bismillahi tawakkaltu 'ala Allahi wala haula wala quwwata illa billahil 'azim."

7. Punctual, particular
"dan orang-orang yang memelihara solatnya." [23:9]
Konsep yang boleh diambil dalam konteks muslim student's life ialah supaya sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa, tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita. Jika sebelum ini kita diingatkan supaya berhenti menulis apabila tamat masa peperiksaan, kita juga perlu memulakan perjuanganan kita dalam pelajaran dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima kali sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa atau berpatah arang di pertengahan jalan, and to maintain keeping up with our effort continously, aka istiqamah.

Namun janganlah kita hanya mengaplikasikan konsep-konsep ini untuk academic semata-mata. Highlight utama dalam ayat tersebut supaya kita sangat menjaga hubungan kita dengan Allah kerana kita akan kembali mengadapNya dengan amal-amal kita, bukan dengan berapa gulung ijazah yang berjaya kita perolehi. Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai keredhaan Allah dan merebut peluang mewarisi syurgaNya.

" Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi. Iaitu yang akan mewarisi SyurgaFirdaus. Mereka kekal didalamnya." [23:10,11]

Wallahu'alam.

Nota 1: Terasa jadual tersangat padat walaupun sedang bercuti semester..
Nota 2: Kereta saya rosak, terima kasih pada yang memahami keadaan dan meminjamkan kereta.

Sunday, December 12, 2010

Di sebalik senyum manismu....


Di sebalik senyum manismu, kamu simpan cerita hati kamu di sudut terdalam di relung kalbumu. Tentang lirihnya hati tatkala merindu, tentang beratnya tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, tentang segala macam pahit manis asam garam kehidupan. 

Mungkin manusia lain cuba untuk meletakkan diri di tempat kamu untuk menjadi empati tapi rahsia tentang perasaan yang terpendam itu hanya diketahui kamu dan Tuhan kamu.

Zahirnya, selama ini, kamu telah penat menjadi kuat berseorangan. Tapi wahai sayang, hakikatnya, kamu tak pernah sendirian, kamu punya Tuhan sekalian alam, yang tak pernah meninggalkan kamu walau kamu terlupakannya. 

Kamu ada Tuhan, yang masih menghidupkan kamu dalam limpahan kasih sayang. Al-Wadud yang menawarkan cinta agung kepada kamu, cinta yang tidak dikhuatiri berakhir dengan pengkhianatan, kekerasan, penentangan atau keretakan.

Kumpullah cebisan kekuatan yang masih bersisa dan angkatlah wajahmu menghadap langit dan empanglah kesedihan kamu. Jalan ini masih panjang maka cekalkan keazaman dan melangkahlah dengan tabah. Proses pendewasaan memang melelahkan tapi padanya terdapat sebaik-baik pengajaran yang memanusiakan.


Kekuatan bukan untuk dicari, tapi untuk dibina. Dan saat ketika pilihan itu yang kamu mahukan, tentunya kamu sudah habis menimbang tara segala keputusan. Ini yang terbaik, insya allah.

Sebenarnya kamu kuat, lebih kuat daripada apa yang kamu jangkakan. Seharusnya kamu terus-terusan menjadi kuat kerana begitu ramai yang mendoakan. 

Menangislah, untuk menyirami jiwamu yang kontang. Setiap titisan air mata itu ada hitungan pahala untuk dihisabkan kelak. Mungkin, kamu tidak dapat banyak perkara tetapi kamu juga tidak tahu apa yang telah Allah sediakan untuk kamu. 

Bersangka baiklah. Bertenanglah dengan ujian ini. Bersabarlah dengan ketetapan ini. Semoga Allah memelihara yang di sini dan juga yang di sana dan di antara keduanya :)

Kamu, tidak perlu berpura-pura kuat sepanjang masa. Cukuplah kamu saja yang tahu yang kamu kuat.

Tuesday, September 07, 2010

Antara Istikharah Dan Istisyarah

Istikharah itu mempunyai gandingan yang memberi tambahan kemudahan. Ia dikenali sebagai Istisyarah. Istisyarah ini bermaksud meminta pendapat mereka yang boleh dipercayai untuk membantu seseorang itu membuat keputusan.

Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berkata:
“Tidak akan menyesal seorang yang beristikharah kepada al-Khaliq (Allah) serta bermesyuarat dengan para Makhluq, serta tetap pendirian dalam keputusannya”

Biar pun para Ulama berselisih pendapat tentang mana yang patut didahulukan antara Istisyarah dan Istikharah, ia tidak menjejaskan bahagian yang perlu dimainkan oleh seorang manusia dalam proses dirinya membuat keputusan. Sebelum sampai kepada pertimbangan memilih antara dua kebaikan, seseorang yang berhajat itu mestilah mempunyai asas dalam penilaiannya agar pilihan yang ada di depan matanya adalah antara dua perkara yang harus serta sama baik. Sudah tentu, hal ini juga memerlukan dirinya untuk mengambil bahagian dengan berusaha.

Setelah beristikharah, namun hati masih berada di dalam ketidak pastian, harus baginya untuk mengulangi Solat dan Doa Istikharah itu hingga beroleh ketetapan hati dalam membuat keputusan. Di samping itu juga, dia dianjurkan beristisyarah, yakni meminta pendapat individu-individu yang dipercayai integriti dan kemahirannya dalam urusan tersebut, agar keputusan boleh dibuat.

Titik pentingnya ialah, keputusan hendaklah kita yang berhajat itu melakukannya dan bukan menyerahkan kepada Allah untuk membuat keputusan itu dan menampakkanya melalui petanda-petanda yang dicari. Di sinilah ruang untuk fitnah berlaku apabila dalam suasana hidup kita yang dibelenggu oleh pelbagai maksiat serta Iman yang teruji, kita membuka suatu ruang kosong untuk dicelah oleh tipu helah Syaitan.
Tambahan pula dalam keadaan jiwa anak muda yang selalu lemah untuk menolak kehendak diri dan sering terdorong mengikut kemahuan. Jiwanya tidak bulat meminta kepada Allah, sebaliknya bermain helah untuk mengharapkan Allah menyokong kecenderungan dirinya sendiri.

Berhentilah mencari mimpi.
Berhentilah menunggu petanda.

Beristikharah memanggil kebersamaan Allah dalam keputusan yang kita buat. Kita yang membuat keputusan itu, dengan keyakinan hasil Istikharah, bahawa keputusan yang kita buat itu adalah dengan kebersamaan Allah. Jika di kemudian hari, pada pilihan yang dibuat itu, datang mehnah yang menguji kehidupan, kita tidak akan berfikiran negatif malah berusaha untuk mencari sisi-sisi positif pada apa yang berlaku kerana keputusan yang dibuat dahulu itu adalah dengan kelengkapan Syariatullah (Istikharah) serta Sunnatullah (Istisyarah – Ikhtiar Usaha).

Pertimbangkanlah… seandainya pilihan yang disangkakan petunjuk daripada Allah itu mencetuskan mudarat, permusuhan, meninggalkan yang afdhal dan mengambil yang mafdhul… berhati-hatilah.

Ia mungkin mainan Syaitan.
“Sebahagian (daripada umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi taufiq untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada di dalam petunjuk hidayah”
[Al-Aa'raaf 7: 30]
KESIMPULAN

1. Hindarkan diri daripada kesukaran menetapkan pendirian dalam kehidupan. Was-was adalah permainan Syaitan dan penyakit jiwa yang mengundang bahaya.
2. Dalam hal-hal yang tiada keraguan dalam membuat pilihan keputusan, ia tidak berhajatkan kepada Istikharah.
3. Ketika berdepan dengan pilihan yang sukar ditentukan, gunakan pertimbangan diri untuk melihat buruk baiknya.
4. Jika jelas mudarat atau sudah ditentukan Haram hukumnya, maka tidak harus beristikharah.
5. Pada perkara yang sukar untuk dibuat keputusan, beristikharahlah kepada Allah mengikut kaifiyat Solat Istikharah dan Doa yang Ma’thur daripada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
6. Istikharah boleh diulang beberapa kali hingga beroleh ketetapan hati untuk membuat keputusan.
7. Di samping itu juga beristisyarahlah dengan meminta pandangan pihak yang boleh dipercayai kewibawaannya.
8. Petunjuk daripada Allah ialah kemampuan hati untuk tetap pendirian membuat keputusan.
9. Hindarilah perbuatan menunggu mimpi atau petanda berbentuk isyarat kerana ia sangat terbuka kepada belitan Iblis.
10. Jauhi Bid’ah dan Syirik.
11. Setelah keputusan dibuat, bertawakkallah kepada Allah dan tenang dengan keputusan itu.
12. Seandainya timbul cabaran atau muncul sisi kekurangan pada pilihan yang dipilih, tiada fikiran negatif muncul kerana yakin adanya hikmah dan kebaikan daripada Allah.
13. Istikharah terbuka kepada apa sahaja urusan kehidupan yang berada di dalam ruang lingkup keharusan Syara’ dan salah jika hanya dilihat sebagai mekanisme jodoh.
14. Rujuklah kitab-kitab Fiqh serta panduan Sunnah dalam urusan Istikharah serta ibadah-ibadah yang lain.
15. Melakukan ibadah dengan hanya berpandukan hearsay adalah pintu kebinasaan dalam beragama.

Tuesday, August 17, 2010

Kematian itu Peringatan Bagi Yang Hidup

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih, Lagi Maha Penyayang.

Kelak, ia akan menjadi rumah kita juga.


Sebelum saya menulis lebih lanjut, suka saya nyatakan bahawa diri ini bukanlah yang terbaik dalam menyampaikan tajuk ini. Diri yang sering melakukan dosa dan membelakangiNya, amat-amatlah tidak layak untuk bercakap, apatah lagi tajuk yang berat seperti ini. Namun, menyedari bahawa rasa tidak layak, lalu mengambil tindakan untuk tidak menyampaikan apa-apa merupakan taktik dan strategi syaitan yang tidak akan pernah redha melihat manusia berbuat kebaikan dan akan cuba menghalang-halangi manusia daripada melakukannya. Justeru itu, insyaAllah, akan cuba saya mengetepikan bisikan-bisikan negatif ini. Dan diharap juga kalian anggaplah sahaja post saya kali ini hanya sebagai per'kongsi'an kecil, bukan peng'ajar'an. Mudah-mudahan, apa-apa yang saya kongsikan di sini, saya terlebih dahulu beramal akannya, dan semoga kalian turut sama dapat menggarap hikmah darinya. Amin


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Segala puji hanya bagi Allah. Saya merasa amat bersyukur kerana pada musim cuti kali ini, Allah telah mengizinkan saya mendapat banyak pengisian, pengalaman, dan juga peringatan yang berbeza bentuknya, dan realiti sifatnya. Berbeza dengan musim cuti-cuti semester saya yang lalu, yang biasanya bersifat 'statik yang merosakkan'. Jujur saya katakan, tidak semuanya menggembirakan. Namun, bagi seseorang yang beriman, diri ini perlu yakin bahawa setiap ketentuan dariNya, pasti punyai hikmah. Dan salah satu peringatan hidup yang Allah berikan kepada saya di masa cuti ini, adalah tentang kematian.


Kematian itu Peringatan Bagi Yang Hidup

Hujung minggu lepas, pertama kali, saya diberikan peluang menyaksikan sendiri jam-jam akhir nyawa seseorang. Saat-saat akhir hayat kehidupan arwah. Lahaulawalaquwattaillabillah. Sesungguhnya, manusia itu merancang, dan Allah juga merancang. Dan Allah itulah sebaik-baik perancang. Arwah yang merupakan nenek saya sendiri, akhirnya dijemput pulang menemui Ilahi. Inalillahiwainnailahiroji'un (daripadaNya kita datang, dan kepadaNya jua kita akan dikembalikan)...

Mohon, mari sama-sama kita doakan semoga arwah ditempatkan di kalangan mereka-mereka yang soleh. Amin.. Al-Fatihah.


" Jikalau seseorang manusia itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya melainkan dari tiga perkara; iaitu sedekah yang mengalir, atau ilmu pengetahuan yang dapat diambil kemanfaatannya, atau anak Muslim soleh yang mendoakan untuknya."
(HR Muslim)


Pengisian program ESQ yang saya hadiri pada sebelah paginya tentang kematian, melalui teori, pembayangan dan penghayatan. Kemudian di sebelah petangnya menyaksikan kematian itu jelas dengan kepala mata sendiri, cukup membuatkan diri ini terkesan akannya. Mesejnya jelas, mati itu pasti, kehidupan dunia ini sementara dan tidak ada sesiapa dapat melarikan diri dari hakikat ini!

Kini, hanya doa-doa yang mampu kita usahakan untuk arwah. Itu sahaja. Sesungguhnya, hakikat kematian, bukan untuk kita melihat dan memikir-mikirkan si mati. Bukan itu yang sebenarnya. Namun, ia adalah satu peringatan daripadaNya untuk mereka-mereka yang hidup, yakni saya dan anda-anda semua. Begitu juga dengan talqin yang dibacakan. Bukan untuk peringatkan si mati sebenarnya, namun buat kita-kita yang akan menghadapi mati!

Kematian belum menjemput kita, maka apakah kita telah mengambil pengajaran dari kematian-kematian di sekeliling kita? Dan sesungguhnya, mahu atau tidak, kita juga pasti akan menghadapinya, dan kemudian kepadaNya jua kita dikembalikan.

Wahai orang-orang yang hidup, tidakkah engkau melihat dan memikirkan peringatanNya ini?


Kematian, ramai yang meremehkannya

Entah mengapa, saya hairan, pasti semua tahu dan meyakini bahawa diri ini akan menghadapi mati. Benar? Namun hakikat kebanyakan manusia, mereka hidup merasakan dunia ini abadi, kononnya kematian itu tidak akan datang menjemput mereka. Kenapa saya katakan begitu? Lihat sahaja di dada-dada akhbar dan di media massa. Atau tak perlu lihat jauh-jauh, perhati sahaja insan-insan di sekelilingmu. Betapa banyak gejala sosial yang berlaku? Betapa ramai manusia yang mengejar dunia, kemudian soal dosa pahala diredah begitu sahaja? Hubungan manusia diperalatkan untuk kepentingan diri... Harta dan wang ringgit dikejar-dikejar bagai nak gila, sedang solat dan bacaan Al-Quran tunggang-langgang tanpa jagaan..


Ramai bukan?

Maka suka saya membawa beberapa persoalan ini untuk sama-sama kita hayati. Semoga ia dapat memberi kesedaran dalam diri kita. Cuba fikirkan,

1000 tahun dahulu kau ada di sini? Tidak kan?
100 tahun dahulu?

Bagaimana pula 1000 tahun akan datang, kau masih lagi di muka bumi ini?
100 tahun akan datang?

......

Dunia ini terlalu sementara bukan?

Lalu, mengapa masih sering, kita mengingkari hakikat kematian di dalam hati kita. Justeru, mengapa masih sering kita menjalani hidup ini seakan-akan merasa hidup ini abadi?

Mengapa?


Mengapa Engkau Di Sini?

For every thing that happens, there must be a reason.

Tidak pernahkah kita terfikir mengapa kita ada di sini. Benar, mengapa ya? Sedang 1000 tahun dahulu kita tiada. 100 tahun dahulu juga tiada. Maka sekarang, mengapa kita berada di muka bumi ini? Mengapa kita diciptakan? Saja-saja? Pasti tidak logik bukan. Sedangkan sekecil-kecil mikroorganisma pun ada punyai makna, berfungsi mengurai mayat dan bahan-bahan terbuang.

Maka sekali lagi, mengapa kita diciptakan? Cuba fikirkan ia secara dalam-dalam.

Sesungguhnhya, Sang Pencipta telah memberi jawapan, namun kadang kita yang sering memandang ia sebelah mata.


" Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka mengabdikan diri kepada-Ku. "
- Surah Adz-Dzariyat (51): 56


Jawapan asas hidup ini. Persoalan yang mungkin kita sering tertanya tatkala kita baru dilahirkan. Namun mungkin, tempoh masa yang panjang menyebabkan persoalan itu berlalu pergi begitu sahaja. Persoalan yang terjawab, yang jika tidak, berkemungkinan kita tiada pun di dunia ini.

Justeru, itulah sepatutnya menjadi tujuan utama (sole purpose) hidup kita ini. Sang Pencipta telah menetapkan. Iaitu mengabdikan diri hanya kepadaNya, yakni dengan melakukan perkara-perkara yang Dia suka, dan menghindari perkara-perkara yang Dia murkai. Ya, itu tujuan utama yang perlu kita tune dalam diri kita. Bukan tujuan yang kedua, ketiga atau seterusnya. Bukan. Tetapi mesti tujuan yang pertama.


No Pain, No Gain


"  ... Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri. ... "
- Surah Ar-Ra'd (13): 11 -


Sering kali, tatkala kematian menjemput orang-orang di sekeliling kita, apatah lagi mereka yang hampir dengan kita, rasa insaf dan kesedaran untuk memperbaiki diri datang bertandang dalam hati. HidayahNya telah dicampakkan dalam diri kita. Pasti anda pernah merasa begitu bukan? Namun kemudiannya, adakah kesedaran itu hanya sementara atau bertahan lama? Dan akhirnya, dapatkah ia diterjemah dalam kehidupan kita?

Ya? Alhamdulillah.
Tetapi jika tidak, mengapa?

Suasana yang tidak menggalakkan mungkin? Rakan-rakan taulan dan ahli keluarga yang tidak memberi sokongan? Diri sendiri yang takut melakukan perubahan? Maka suka saya nyatakan, mahu tidak mahu, sudah menjadi lumrah dalam hidup iaitu untuk mendapatkan sesuatu yang kita inginkan, biarpun ia bersifat mengejar kejayaan atau materialistik, perlu ada pengorbanan. Perlu merasai sakit dan kepahitan.

Maka, perkara sama juga berlaku dalam kita mahu 'change for good'. Jangan anggap mudah. Pengorbanan itu suatu yang mesti. Diri ini kadangkala disakiti itu pasti. Bukan saya sahaja mahu menakut-nakutkan anda. Tidak. Tetapi itulah realitinya.


" Kamu tidak akan memperoleh kebajikan, sebelum kamu menginfakkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apapun yang kamu infakkan, tentang hal itu sungguh, Allah Maha Mengetahui."
- Surah Ali Imran (3): 92 -


Namun, yakinlah, tiap-tiap pengorbanan yang akan kita hadapi itu tidak ada satu pun yang sia-sia. Percayalah, semua kesakitan yang terpaksa kita lalui itu berbaloi. Ya, percayalah! Tiap-tiap sesuatu itu akan dikira olehNya, dan tiada yang akan terlepas dari pandanganNya, melainkan ianya tercatit sebagai amal kebajikan.

Ingatlah mutiara-mutiara kata ini,

" Mujahadah itu pahit, kerana syurga itu manis. Nafsu itu tampak indah, sedangkan neraka itu tidak terperi azabnya."

Dan pasti, apabila kelapangan dan ketenangan hati dirasakan, tatkala nikmat-nikmat syurga itu dikecapi, segala perih dan jerih itu pasti akan terasa hilang dan berlalu pergi. Seperti aliran air yang membawa bersama kotoran di badan pergi bersamanya.
Maka persoalan untuk diri, apakah aku telah bersedia untuk berkorban?


Ayuh, sebelum terlambat!

Tinggal dunia, tinggal segala. Hanya amalan, jadi teman bicara.



“Secerdik-cerdik manusia ialah yang terbanyak ingatannya kepada kematian serta yang terbanyak persiapannya untuk menghadapi kematian  itu. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar cerdik dan mereka akan pergi ke alam baqa' dengan membawa kemuliaan dunia dan akhirat.”
(HR. Ibnu Majah dan Abiddunya)



Ayuh! Mari kita bergerak memperbaiki diri! Mulakannya sekarang! Jangan biarkan kesedaran yang Allah kurniakan itu berlalu begitu sahaja.

Sesungguhnya kelak di akhirat, akan ada ramai manusia yang baru nak menginsafi dosa-dosa yang mereka lakukan di dunia. Diri mereka mahu berubah. Namun bagaimana, terus terang dikatakan, kau sudah terlambat!


“ Dan (alangkah ngerinya) sekiranya kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata), 'Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), nescaya kami akan mengerjakan kebajikan. Sungguh, (kini) kami adalah orang-orang yang yakin ”
- Surah As-Sajadah (32): 12 -

“ Sesungguhnya, Kami telah memperingatkan kepadamu (orang kafir) azab yang dekat, pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua tangannya; dan orang kafir berkata, 'Alangkah baiknya seandainya dahulu aku menjadi tanah. ”
- Surah An-Naba’ (78): 40 -


Maka sekali lagi, ayuh kita bersegera ke arah kebaikan. Mari kita mempersiapkan diri bagi menghadapi kematian. Sesungguhnya "kekuatan itu perlu dibina, bukan ditunggu". Berubahlah. Jika mampu, lakukannya secara menyeluruh dalam kehidupan kita. Itu yang sebaik-baiknya. Namun jika tidak mampu, tak mengapa. Usahalah untuk berubah sedikit demi sedikit. Ya. Namun pastikanlah, perubahan itu berterusan, dan matlamat akhir perubahan itu dapat dicapai. InsyaAllah.

Ayuh! Sebelum engkau kembali selesa dengan kehidupan jahiliyyahmu yang dahulu.

Ayuh! Sebelum nikmat hidayah yang Dia kurniakan itu, Dia tarik kembali.

Ayuh! Sebelum engkau terlambat. . .


Dan sering-seringlah bermuhasabah diri,

Jika kematian datang menjemputku sekarang, adakah aku telah bersedia?


" Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh, dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya. "
- Surah Ali Imran (3): 185 -



Mati,
Ia Pasti,
Ia menghampiri,
Ia mengakhiri.

Namun mengapa masih kau dustai
Mengapa masih kau remehi?


Apakah engkau tidak meyakini?
Lantas ayuh persiapkan diri!

~'esok' masih tiada yang pasti~

Monday, May 31, 2010

Melintas Di Depan Orang Yang Sedang Bersolat

Amat menaikkan darah apabila sedang solat tiba-tiba ada orang melintas di depan kita. Jahilkah si dia ?. Biadap sungguh. Agak kerap berlaku, ketika kita menunaikan solat sunat selepas Jumaat, manusia-manusia biadap ini dengan selambanya melintas tanpa ambil kisah kita sedang menunaikan solat.
 
Amat perlu kita semua menasihatkan diri dan semua yang dikenali agar menjauhi sikap melintas di hadapan orang solat, terutamanya bagi mereka yang amat prihatin dalam hal solat. Salah satu tanda keperihatinan seseorang itu dengan solatnya adalah apabila ia meletakkan ‘penghadang' khusus di depannya ketika solat sunat seorang diri.
Tegahan melintas di hadapn orang solat ini disebut dalam dua hadis ini, sabda Nabi s.a.w :-
 
لو يَعْلَمُ الْمَارُّ بين يَدَيْ الْمُصَلِّي مَاذَا عليه لَكَانَ أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِينَ خَيْرًا له من أَنْ يَمُرَّ بين يَدَيْهِ قال أبو النَّضْرِ لَا أَدْرِي أَقَالَ أَرْبَعِينَ يَوْمًا أو شَهْرًا أو سَنَةً
Ertinya : Sekiranya seorang yang melalui di hdapan orang yang sedang bersolat ini mengetahui apa jenis dosanya (lalu di hadapan orang solat) nescaya untuk berhenti menunggu empat puluh lebih baik dari lalu di hadapan orang solat ini, berkata perwai : aku tidak tahu samada Nabi menyebut EMPAT PULUH hari atau bulan atau tahun" ( Riwayat Al-Bukhari) [1]
 
Dan sebuah lagi hadis menunjukkan besarnya dosa lalu dihadapan orang solat :-
إذا صلى أحدكم إلى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ من الناس فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بين يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هو شَيْطَانٌ
Ertinya : Apabila seorang kamu sedang solat dan mempunyai sutrah menghalangnya, dan jika tiba-tiba ada orang yang ingin mencerobohi hadapannya maka hendaklah ingin menegahnya, jika ia (yang ingin menyeberang) enggan berhenti, hendaklah kamu bersungguh menghalangnya kerana ia adalah Syaitan" ( Riwayat Al-Bukhari) [2]
 
Jelas dari dalil-dalil ini, sangat perlu untuk kita meletakkan sutrah (penghadang) agar tiada individu yang mendapat dosa kerana melalui di hadapan kita selain merosakkan solat kita. Selain itu, amat perlu juga kita menahan sekiranya terdapat individu ingin melintas sewaktu kita menunaikan solat.
 
Ada yang bertanya kepada saya, mengapakah dosa melintas ini kelihatan terlalu besar?. Jawabnya mudah.
Anggaplah apabila anda melintas di hadapan orang yang solat, individu tersebut telah menunjukkan kebiadapannya terhadap Allah s.w.t, tiada hormat kepada Allah yang sedang berhadap kepada orang yang solat. Keadaan ini jelas dari sabda baginda nabi s.a.w :-
 
فإذا صَلَّيْتُم فَلا تَلتَفِتُوا , فإنّ اللهَ يَنْصِبُ وَجْهُه لِوَجْهِ عَبْدِهِ فِي
صَلاتِهِ مَا لمْ يَلتَفِتْ
Ertinya : "Apabila kamu solat, janganlah kamu menoleh (ke sana sini yakni tidak fokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajahNya ke wajah hambanya yang sedang bersolat selagi mana hambanya tidak menoleh ke lain" ( Al-Bukhari dan Abu Daud) [3]
 
Jelas, individu yang lalu TANPA HORMAT kepada Allah dan orang yang bersolat melintas. Secara langsung juga, individu itu juga biadap kepada orang yang sedang solat.
 
Kesimpulannya, jauhilah sifat buruk dan dosa ini. Adapun ketika di Mekah yang terlalu ramai manusianya yang pelbagai ragam dan sikap, mungkin ada keringanan sedikit disebabkan keadaan yang tidak amat sukar dikawal, namun demikian saya yakin keadaan tersbeut boleh dikawal di Malaysia . Jangan jadikan diri sebahgaian dari kumpulan biadap ini.
Sekian
 
Zaharuddin Abd Rahman
13 Jun 2008
[1] Sohih Al-Bukhari, , no 487, 1/191
[2] Sohih Al-Bukhari, , no 486, 1/191
[3] Fath al-Bari, Ibn Hajar, 2/304

Wednesday, May 05, 2010

Hadirnya Tanpa Diundang

KEMATIAN makin hampir, detiknya kian terasa. Kehadirannya bagai belati membunuh dalam senyap, tiada siapa dan apa bisa menduga. Peranan akal pula masih kelam di balik keseronokan bertimbun-timbun dan disengajakan. Kenapa, bila, dan di mana adalah persoalan jarang dimainkan di corong-corong radio, di kaca televisyen, bahkan jauh sekali bermain di persisiran bibir setiap insani. Semuanya musnah, hancur, hanyut, kaku diusir jauh mendian di hati memulas laju agar tidak perlu ingat mahupun merintih.

Kalian dikira telah berjaya dalam hidup apabila terdetik jua untuk bertaubat, mengesali atas perbuatan lusuh sebelumnya, bercita-cita menjunjung titah perintah Tuhan dan mengakui kehinaan hamba, hamba yang tidak sombong tika hayatnya kerana satu pengharapan didambakan, tiada dua, tiada tiga iaitu bertamu di persimpangan kasih Ilahi. Keredhaan-Nya pula dipinta agar menyuluh jalan yang kelat lagi kelam, meraba-raba menuju jalan benar, jalan-jalan orang muttaqin dan solehin.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang-orang yang menjadikan dirinya (yang sedia bersih) itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)” as-Shams (:9-10)

Hidup dari hari ke sehari menghitung usia yang diberi pinjaman buat sementara cuma. Bening kilaun hati seorang hamba ketika hayat hidupnya hanya ber‘TUHAN’kan satu Tuhan, tidak pernah dicemari sumur hatinya diperhambakan oleh ‘tuhan-tuhan’ kecil kerana mahukan pujian, pangkat, sanjungan daripada manusia lain yang juga hanya seorang hamba. Berbanding usianya yang kian meningkat, tidak pula pada kematangannya membaca alam penuh bermisteri... kaki melangkah dibawa arus tanpa dibekalkan sebuah radar buat mencari di kala sesat, pulang ke jalan al-Haq.

Semuanya ditagih apabila sesal menyelubungi diri, tiada siapa yang sudi membantu, maka di kala itulah Tuhan juga tempat dia mengadu senda, menundukkan rasa keegoan membuak-buak yang pernah menghantui perjalanan hidupnya sebagai seorang hamba.

Kita duduk, kita berdiri, dan kita berjalan dalam kehidupan pada hari ini, perlu sentiasa sedar, menerima kenyataan bahawa kita hanya seorang hamba yang lemah, tidak mampu berdiri dengan sendiri, masih memerlukan sokongan manusia di sekeliling. Kita adalah makhluk yang lemah dan serba kekurangan, kuatnya kita kerana kelebihan yang ada pada Allah Taala. Namun kelebihan yang dibekalkan kepada kita belum memadai, belum cukup untuk menongkah kehidupan andai tiada terselit bersamanya keikhlasan dan rasa syukur di atas kelebihan yang dipinjamkan.

Hidup insani penuh dengan pilihan. Kadang kadang untuk membuat pilihan dalam keadaan yang senang itu lagi sukar dibandingkan apabila kita ingin membuat pilihan pada waktu susah. Ketika susah, hati kita cukup redha dengan apapun pilihan yang ada, kerana kemahuan hati telah ditutup dengan ‘kekurangan’ dan rasa syukur dari kesusahan itu tadi... tetapi pada waktu senang, nafsu manusia biasanya mendahului akal untuk membuat pertimbangan keputusan. Diberi betis mahu peha.

Demi nasihat dalam kalam-Nya, dan kerana Allah Taala dan Rasulullah s.a.w. Pilihlah apa yang telah ditetapkan Allah melalui Rasulullah s.a.w, agar jalan yang dipilih dipimpim oleh jejak-jejak baginda s.a.w... jalan yang telah dan akan menyisih musuh-musuh Allah Taala.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu perintah, ada pula pilihan lain bagi mereka mengenai urusan mereka?. dan barangsiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata!” al-Ahzab (33:36)

Tidak terkejar kemahuan diri, kerana masih dirundum matinya hati. Kematiannya diratapi, bukan hendak membaiki, malah menyalahi... menyalahi suratan takdir selepas diri tidak pernah pandai membaca suratan tersebut selepas berkali-kali dihujani masalah diri dan orang lain, tempiasnya turut sama dirasai.

Manusia yang diberi peluang merasai nikmat sebagai seorang yang senang hidup, tidak semua yang berjiwa hamba... cenderung tidak suka mengambil berat antara satu sama lain. Mencapai kepuasan diri adalah keutamaan, keadaan orang lain tidak mendapat tempat di petak pertolongannya. Apabila kesombongan menyelinap masuk bersama kepuasan tadi, maka tiada lagi kebaikan yang dilihat, yang tinggal cuma pelaburan masa depan yang menggelapkan. Seolah-olah mengali kubur sendiri. Kelebihan pinjaman-Nya tadi bukan lagi nikmat, tapi mudharat bagi si penerima kerana tidak mahu dan pandai bersyukur.

Rupa-rupanya nikmat kesenangan itu bukan lagi suatu kenikmatan kekal tapi hanya ujian tersalut padanya kerakusan dan haloba yang dangkal. Malam dan siang berlabuh pergi silih berganti, cuma diambil tahu soal bussiness, pangkat, projek dan main golf. Namun bagi mereka diberi nur cahaya hidayah Ilahi, akan terpukul jua bila kesusahan tiba-tiba menggangu fikiran. Kekurangan dalam perhubungan, membuatkan manusia cepat lemah bila susah, dan sering membuat keputusan tidak tepat bila menghadapi tekanan. Tetapi bayangkan bila wujudnya manusia yang memahami diri kita, dan mengetahui keadaan diri kita, bukankah kesusahan kita akan menjadi sedikit ringan?

Kita boleh meminta apa-apa sahaja daripada Allah Taala, tidak sedikit pun harta-Nya akan berkurangan, malah bertambah pula. Tapi, manusia sering lupa, alpa atau sesekali melekat juga rasa sombong untuk meminta kerana sudah lama bergelumang dalam kenikmatan kaya harta dunia, hingga hilang deria kemahuan untuk mengharap keampunan dan ganjaran pahala di Akhirat. Dia tidak meminta kita membalas setiap daripada permintaan kita mahukan itu, namun sebuah ketaatan dan ketakwaan kita sebagai hamba yang Faqer kepada-Nya di setiap hembusan helaan sang hamba.

Nabi s.a.w ada bersabda, bermaksud: “Amat menghairankan sekali keadaan orang mukmin itu, sesungguhnya semua keadaannya itu adalah merupakan kebaikan baginya dan kebaikan seperti itu tidak ada untuk orang lain kecuali hanya untuk mukmin itu, iaitu apabila dia mendapatkan kelapangan hidup, lantas dia bersyukur, maka keadaan itu adalah kebaikan baginya, sedang apabila dia ditimpa kesukaran, lantas dia bersabar dan maka ini pun adalah merupakan kebaikan baginya” (Hadith Riwayat Muslim)

Betapa besar nikmat bagi seseorang muslim yang diuji setiap inci penghidupannya. Antara kita sedar mahupun tidak, sebenarnya ujian itu datang untuk mengembalikan kita kepada fitrah, sesuatu yang kita mahu dan dambakan seperti damai, tenang, dan tiada rasa hiba. Membumikan muhasabah amat dianjurkan dalam Islam, kerana daripada satu sudut kita akan sentiasa terkesan di atas ujian tertimpa, rupa-rupanya telah banyak dosa telah dilakukan. Ketukan hati kembalikan manusia berjiwa hamba pada kalimah sabar, redha dan mengetahui kita adalah hamba, dan DIA ialah Tuan kepada hamba... yang tahu apa yang terbaik buat sekalian hamba-Nya. Pasti akan hadir rasa redha menghiasi hati, mengatasi rasa keluh.

Mengadu dan merintih hanya kepada-Nya.

Acapkali apabila kita ditimpa masalah, tipulah kalau pertama sekali yang terdetik di hati kita kesal dan bersalah? Fitrah manusia itu yang mempunyai pelbagai rasa hati dan perasaan membuatkan kita seringkali mudah untuk berasa yang negatif dahulu baru yang positif. Apabila ditimpa masalah mahupun musibah, hati kecil ini akan sering ber-BISIK mengapa dan kenapa? Begitu sukar bagi manusia untuk ber-TANYA mengapa dan kenapa terlebih dahulu.

Hidup kita, adalah satu ubudiyyah (pengabdian) kepada Allah Taala. Bukanlah bermakna kita hanya duduk di masjid melakukan solat, zikir, baca al-Quran dan berwirid semata-mata sepanjang masa, tetapi hidup sebagai ubudiyyah ini adalah menjadikan kehidupan kita, pekerjaan kita, pelajaran kita, sistem hidup kita, matlamat kita bergerak dan berjalan di atas landasan yang dikehendaki Allah Taala, seiringan juga matlamat yang digaris oleh agama yang termaktub di dalam al-Quran dan sunnah.

Kita perlu berubah. Ubah diri, dan ubah sistem sedia ada kepada aturan islami. Bagaimana berubah, tanya diri sendiri, kemudian betulkan persepsi dan sikap kita.

Friday, April 23, 2010

Kawin Pun Susah?

SAYA akan bersikap jujur setiap kali disapa, diusik oleh teman-teman bila ditanya tentang membina bayt-muslim. Sudah tentu saya seperti kalian, punya hati dan perasaan, normal sifat dan anggota, berkeinginan sempurna ibadat selepas ijab dan qabul. Kehidupan sebenar saya pada setiap langkah kaki menuju, berhentinya langkah saya bererti saya sedang menyusun langkah baru agar tidak terus mati hingga bertamu destinasi berikutnya.

Bila orang bujang berkumpul pasti tidak lepas daripada 'ngomol-ngomol' pasal bayt-muslim, ada mengusik teman-teman yang belum berumahtangga. Tapi disempitkan tujuan kahwin hanya untuk kekang nafsu, elak zina akan jadi lain pula. 


Perkahwinan bukan penyelesaian pada sesuatu perkara, tapi mungkin permulaan kepada satu masalah kalau tak kena gaya.

Masalah sama saya sering hadapi ialah kesukaran berbincang dengan anak muda yang sempurna BALIGH, namun malangnya kurang AQIL, masih terdodoi dalam buaian. Bermodalkan alasan cliche yang amat mudah:

"Biasa la ustaz... mahu enjoy puas-puas, hidup remaja cuma sekali"

maka tiada alasan kalau mahu berkeras untuk kahwin muda kerana kekang nafsu, bimbang hilang rasa tanggungjawab.

Sedaya mungkin, saya masih tidak begitu bertegas dengan ibu bapa tentang isu ini, masih mengharapkan pada terzahirnya hikmah yang membantu saya membuat keputusan tepat. Cuma kadang-kadang bermonolog sendiri:

“Kebahagiaan itu sebenarnya di mana?”

Bayt-Muslim bukan sekadar suatu kenyataan bila terzahir maksud melalui rundingan ahli lalu membentuk kelompok komunikasi mencari satu keputusan bersama, namun ianya lahir daripada segenap perancangan benar akan setiap ketentuan itu adalah hadir daripada susun atur taqdir Tuhan. Bila tiba masa kita mengharapkan Dia pada satu rasa, Dia juga akan menilai keikhlasan kita sebelum membenarkan rasa itu tercipta sebagai satu natijah akhir.

Berkahwin tidak semudah tutur kata, tanpa berfikir masak-masak banyak akan mengundang masalah. Tapi tidak selayaknya kita berputus asa sebelum berjuang, berpecak dahulu di luar gelanggang selepas dihadapkan dengan pelbagai mehnah orang yang sudah berpecak di dalam gelanggang. Kesabaran perlu tinggi dalam menempuh cabaran-cabaran selepas berumahtangga yang tergesa-gesa. Kita bukan sahaja berkahwin dengan pasangan tetapi keluarga pasangan.

Berkahwin ketika masih di alam kuliah, kalian bukan sahaja diajak menghadam silibus-silibus, kitab-kitab pengajian bahkan ilmu-ilmu rumahtangga selepas terpatri ikatan. Kita pasti tidak mahu, kahwin adalah jalan terakhir untuk melunaskan nafsu serakah, isteri bagai pakaian, digunakan bila perlu, dibuang bila puas.

Saya agak tidak bersetuju dengan dengan sesetengah remaja yang kepingin untuk kahwin awal, tetapi hanya beralasankan idea yang sangat rapuh. Kalau hanya memandang kahwin dengan sebelah mata, kebarangkalian penceraian untuk berlaku selepas perkahwinan adalah besar. Oleh itu, sediakan diri secukup-cukupnya sebelum melangkah ke alam perkahwinan, jika benar redha Allah Taala yang kita cari.

Kelebihan kita kerana akal... melalui pemerhatian dan pengalaman boleh dijadikan modul lengkap untuk mereka yang tercari-cari jawapannya... kecuali mereka yang terlalu robotik dan tidak boleh berfikir sendiri dengan baik.

Perempuan solehah tidak pernah sunyi dari kebimbangan, mengenang diri dengan siapa bakal disatukan. Betapa sedihnya ulu hati kerana saat diri sudah sampai jodoh, tiada pula wali yang mengijabkan lantaran ajal bapanya sudah sampai terlebih dahulu sebelum jodohnya. MUjahadahnya adalah cekal, doa dan berserah pada Qadha' dan Qadar agar perjalanan bahtera dibina cekal hingga ke Syurga.

Wahai insan bernama lelaki, suami hargailah pengorbanan si isteri. Taatnya tidak pernah berbelah bahagi, kerana risiko tetap sahaja di pihak lelaki yang terselindung di sebalik ‘kuasa’ talaq dan poligami.

Monday, February 22, 2010

Kelebihan Mengamalkan Surah Al-Ikhlas


Assalamualaikum wbt

.:: Sempurna 1 bacaan ibarat membaca sepertiga Al-Quran ::.
Rasulullah S.A.W pernah bertanya sebuah teka-teki kepada para sahabat: Siapakah antara kamu yang dapat khatam Quran dalam jangka masa dua tiga minit saja? Tiada seorang pun daripada sahabatnya yang menjawab. Malah Saidina Umar telah mengatakan bahawa ianya mustahil untuk mengkhatamkan Al-Quran dengan begitu cepat. Kemudiannya Saidina Ali mengangkat tangannya. Saidina Umar bersuara kepada Saidina Ali bahawa Saidina Ali (yang sedang kecil pada waktu itu) tidak tahu apa yang dikatakannya itu. Lantas Saidina Ali membaca surah Al-Ikhlas tiga kali. Rasulullah S.A.W menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul. Ini kerana Rasulullah S.A.W pernah berkata bahawa membaca surah Al-Ikhlas ganjarannya sama dengan membaca 10 juz kitab Al-Quran. Lalu dengan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali, maka khatamlah sebuah Al-Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 juz Al-Quran.

Dari Imam Bukhari, diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri: Ada seorang lelaki telah mendengar bacaan surah Al-Ikhlas berulang-ulang kali di masjid. Pada keesokan paginya dia datang kepada Rasulullah S.A.W. dan menyampaikan perkara itu kepada baginda sebab dia menyangka bacaan itu tidak cukup dan lengkap. Rasulullah S.A.W berkata: Demi tangan yang memegang nyawaku, surah itu seperti sepertiga Al-Quran!

“Barangsiapa yang membaca surah Al-Ikhlas, maka seakan-akan dia telah membaca satu pertiga Al-Qur'an.” ( Hadith Riwayat Ahmad dan An-Nasai )

Nota: Sejak seminggu lepas, saya membaca Al-Quran selepas solat Subuh dan bukannya selepas Maghrib seperti lazimnya kerana sentiasa bangun awal pagi untuk study. Sebaik tahu akan kelebihan ini, saya akhiri bacaan saya dengan surah ini beserta sebuah surah lagi. Berkatnya hari kita kalau dapat mengkhatamkan Al-Quran di pagi hari ya.

.:: Membina rumah di syurga ::.

“Barangsiapa yang membaca surah Al-Ikhlas sebelas kali, Allah SWT membangunkan rumah untuknya di syurga." (Hadith Riwayat Ahmad dan Muadz bin Aras)

Dari Al-Muwatta', diriwayatkan oleh Abu Hurairah: Saya sedang berjalan dengan Rasulullah S.A.W, lalu baginda mendengar seseorang membaca surah Al-Ikhlas. Baginda berkata: Wajiblah. Saya bertanya kepadanya: Apa ya Rasulallah? Baginda menjawab: Syurga (wajiblah syurga bagi si pembaca itu).

Nota: Ini real estate kita di akhirat nanti. Mari kita mengumpul dana! Tak perlu keluarkan walau sesen pun kan. Indahnya hidup!

.:: Didoakan dan dipelihara oleh para malaikat ::.

"Ketika aku (Rasulullah SAW) israk ke langit, maka aku telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan. Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang Sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang Sahara itu seluas dari timur ke barat. Pada setiap padang Sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas. Setelah mereka selesai membaca surah tersebut, maka berkata mereka "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini, kami berikan kepada orang yang membaca surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan." (Riwayat Ibnu Abbas)
Sabda Rasulullah S.A.W: Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya. Sesungguhnya 'Qul Huwallahu Ahad' itu tertulis di sayap malaikat Jibrail A.S., 'Allahus Somad' itu tertulis di sayap Mikail A.S., 'Lam Yalid Walam Yuulad' tertulis pada sayap Malaikat Izrail A.S. 'Walam Yakullahu Kufwan Ahad' tertulis pada sayap Israfil A.S. Siapa membaca surah Al-Fatihah, Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas setiap satu sebanyak 7 kali selepas solat Jumaat, nescaya terpelihara daripada perkara keji dan segala bala hinggalah bertemu Jumaat yang berikutnya. Jika dibaca 3 surah ini (Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas) pagi dan petang nescaya tidak mengalami apa-apa kesusahan.
(Saya tidak jumpa sumber sanadnya tapi tidak rugi jika diamalkan)

Nota: Terasa diri seperti ada bodyguard yang jaga atas, bawah, kiri dan kanan.

.:: Dipelihara daripada azab kubur dan dipermudahkan di akhirat ::.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi Siratul Mustaqim lalu menuju ke syurga. (Demikian diterangkan dalam Tadzikaratul Qurthuby). (Sanad yang sepenuhnya juga saya tidak temui. Sekadar kupasan daripada kitab saja.)

Nota: Saya teringatkan kelebihan membaca surah Al-Mulk sebelum tidur. Juga untuk terhindar daripada azab kubur nanti.


Saya kira cukup dulu untuk kali ini. Maafkan saya sebab ada beberapa dalil itu tidak mempunyai sanad/sumber yang jelas. Saya tidak tahu di mana hendak dirujuk lagi. Jadi, jika ada sesiapa yang tahu sumber hadis yang saya tidak sertakan sanadnya, bolehlah lampirkan di komen. Nanti saya akan kemaskinikan jika ada maklumat terkini.

Oh ya. Lagi satu surah yang saya baca selepas mengaji atau sebelum memulakan study adalah surah Al-Insyirah (Alam Nasyrah). Sudah menjadi amalan sejak tingkatan satu. Surah ini pelapang dada. Memudahkan kita menimba ilmu, penguat semangat dan pelembut hati. Elok diamalkan di pagi hari. Terutamanya selepas Subuh. Jika ada para ibu yang hendak melembutkan anak-anak yang nakal atau degil, bolehlah dibacakan surah ini di ubun-ubun kepala anak-anak ketika mereka tidur :)

Semoga dengan perkongsian ini, kita semua semakin jelas kenapa Annas dan Pakcik Mahmud mengamalkan surah Al-Ikhlas dalam kehidupan mereka. Semoga dapat membawa ilmu dan penghayatan baru dalam hidup kita semua.

Ya. Hidup untuk terus menuju ke hadapan ke arah yang lebih baik, Insya Allah :)

Thursday, December 03, 2009

Mencari Diri: Drama Nur Kasih




“Ustazah, boleh tak kalau saya tak datang mengaji dengan ustazah hari Jumaat malam. Saya nak tengok Nur Kasih….”,Kata anak murid mengaji saya...pelajar sekolah rendah

Tergelak saya mendengarkannya. Namun, hati terdetik, apakah agaknya yang dipelajari oleh anak-anak berusia semuda itu?

Tidak dinafikan Nur Kasih mempunyai aura tersendiri dalam masyarakat. Saya sendiri jatuh cinta. Cinematography yang mempesona! MasyaAllah.

Tatkala Facebook dihujani kuiz-kuiz untuk melihat apakah watak Nur Kasih yang sesuai dengan diri, apakah kita benar-benar `melihat` mesej untuk dihayati?

Perihal Anak Muda
”Kalau saya jadi Sarah, saya pun akan jadi seperti itu”, komen adik di sebelah.
Saya kurang memahami. ”Seperti yang bagaimana?”.

”Lihatlah cara ibu bapa mereka melayan Sarah dan kakaknya. Jauh berbeza”, komen yang lahir dari hati seorang anak muda.

”Ye tak ye juga”, hati kecil saya mengakui.

Jika saya membuat bancian, pasti ramai yang amat tidak menyukai watak Sarah. Tidak terkecuali watak Adam di awal cerita. Geram, marah, benci! Jauh berbeza dengan watak Aidil dan Nur Amina.
Ironinya, Sarah dan Adam dibesarkan dalam sebuah keluarga berpendidikan agama. Namun, seperti lirik lagu, iman tidak dapat diwarisi.

Terdapat beberapa persamaan antara watak Adam dan Sarah yang berperang dengan jiwa muda. Sifat terburu-buru, tidak sabar. Sifat melawan, tidak mahu mendengar kata. Sekalipun ibu bapa telah berusaha dan berdoa, sikap mereka tidak bertukar.


Paradigma Uda dan Dara

”Adam jahat! Adam anak setan!”, kata-kata Adam sewaktu kecil yang menempah tamparan daripada Mak Jah.
Begitulah paradigma yang terbentuk dalam diri Adam. Dia seorang yang jahat. Lebih-lebih lagi apabila Ustaz dan Mak Jah mendidik Adam dengan kekerasan. Mereka sendiri mengakuinya tatkala berbicara di kamar tidur.
”Mungkin cara didikan kita pada Adam silap. Selalu sangat dipukul. Jadi bebal anak tu”, luah Mak Jah, naluri seorang ibu berbicara.
Sekalipun Adam kelihatan `jahat`, masih terselit ketaatannya pada ibu bapa.

Ketika Ustaz sakit, Adam tetap pulang selepas dipujuk Aidil. Selain itu, niat Adam untuk pulang segera ke Australia dibatalkan apabila Ustaz jatuh sakit sekali lagi. Babak di kampung diakhiri dengan Adam mengikut kehendak bapanya, berkahwin dengan Nur (kisah dia mengabaikan Nur satu perkara lain).
Berbeza dengan watak Sarah. Salah satu paradigma Sarah ialah mabuk bercinta tidak berbalas. Cinta buta. Selepas berusaha sedaya upaya mendapatkan cinta, barulah Sarah tersedar, ”Buruk sangat ke Sarah mak?”, tanya Sarah pada diri sendiri sebenarnya. Pertanyaan ketika di episod akhir.

Kata orang, hendak dijadikan cerita. Kata saya, lihatlah, penulis tidak menjadikan cerita sia-sia!

Menganjak Paradigma
Bayangkan watak Adam dan Sarah, paradigma mereka telah terbentuk hampir 20 tahun. Maka, untuk mengubah paradigma mereka ke arah yang positif, tentunya mengambil masa yang lama. Paradigma tidak berubah sekelip mata. Dengan izin Allah jua.

Paradigma seseorang terbentuk sejak lahir. Banyak faktor yang mempengaruhi lalu membentuk persepsi. Ibu bapa, kawan-kawan, persekitaran dan media antara faktor yang menyumbang.
Menariknya, anjakan paradigma Adam dan Sarah bermula dengan ujian. Ujian terus dari Allah swt. Adam kehilangan anak sulungnya bersama Katrina. Kemudiannya Adam dipenjara. Sarah pula ditimpa kemalangan merempuh cermin.

Hidayah itu datang dengan pelbagai cara. Terpulang kepada individu melihatnya dengan mata hati. Hidayah melalui pencarian. Hidayah melalui ujian!

Pencarian Diri Bermula




Ujian yang menimpa Adam dan Sarah merupakan faktor luaran, sesuai sebagai permulaan untuk menganjak paradigma. Namun, tidak menjamin usaha untuk terus mengubah diri ke arah kebaikan. Jelas mesejnya bahawa untuk berubah, bergantung kepada individu. Adam dan Sarah perlu mencari selepas mereka di uji!

Pencarian diri Adam diceritakan dengan panjang lebar berbanding Sarah yang `insaf` dihujung cerita.
Secara umumnya, pencarian Adam mengenal diri dan Islam perlu dimulakan dengan diri sendiri walau penuh rintangan. Usaha dimulakan sedikit demi sedikit, syaratnya istiqamah.

Adam memulakan pencarian  tanpa bantuan abangnya Aidil. Bahkan, Adam menyedari, dia bertanggungjawab untuk mendidik Katrina, dirinya perlu berubah dahulu. Selain rintangan dari dalam diri, Adam perlu berhadapan dengan Katrina yang terkejut dengan perubahannya. Begitulah pencarian Adam bermula. Sunnah orang berjuang. Berjuang menentang diri sendiri. Berjuang menempuh rintangan.

Namun, Adam berusaha sedikit demi sedikit. Asalkan istiqamah. Sekali-sekala Adam terbabas. Katrina menjadi mangsa `kekasarannya`. Namapun terbabas, segalanya pulih bahkan bertambah baik apabila Adam menyedari kelemahannya. Kembali ke atas track sebenar.

Membentuk Diri

Setelah beberapa ketika mencari diri dan dalam masa yang sama cuba mengubahnya, sampailah ke satu tahap, Adam mampu untuk membetulkan kesilapan lamanya. Kesilapannya terhadap Nur Amina. Kesilapan terhadap ibu, ayah serta abangnya.

Tanpa ujian sebagai permulaan, tanpa pencarian diri dan Islam, sukar buat Adam untuk menjatuhkan ego sendiri bagi membentuk diri ke arah yang lebih baik. Malah, membaiki kesilapan lalu. Sukar.
Perubahan diri Adam berperingkat-peringkat. Adam tidak menjadi anak serta suami yang soleh sekelip mata. Bergantung kepada masa. Bergantung kepada izin Allah jua. Namun, Allah tidak pernah meninggalkan hambaNya. Bahkan Allah lah yang paling dekat tatkala hambaNya memohon padaNya. Cuma, hamba ini yang alpa berusaha. Astaghfirullah!

Walaupun pada awalnya kaki Adam tersangkut untuk melangkah bersama ayah dan abangnya ke syurga, dia kmudiannya berusaha. Lalu Allah redha mengizinkan.

Sarah pula menjatuhkan egonya apabila benar-benar redha untuk melepaskan Aidil. Aidil yang cukup bertakhta di hatinya sehinggakan lupa bahawa pemilik mutlak hati seorang hamba adalah tuannya, Allah swt.

”Kak Nur kahwinlah dengan abang Aidil, Sarah tak kesah”, jelas keikhlasan diwajah Sarah dihujung cerita. Berbeza dengan dirinya yang bermuka-muka pada awalnya. Tanpa dinafikan, yang Maha Mengetahui ikhlas hanyalah Allah sw.t


Berapa peratuskah `Sarah` dalam diri kita?


Aplikasi Buat Anak Muda

Mungkin kita tidak dilahirkan dalam keluarga ustaz mahupun imam seperti Adam dan Sarah. Namun, jangan kita lupa. Syarat untuk berubah adalah diri sendiri!

Apabila balighnya anak Adam itu, maka mereka mampu berfikir. Mampu untuk membezakan mana yang baik dan buruk. Mampu untuk mencari diri dan Islam.

Buangkan tabiat menyalahkan ibu bapa, menuding jadi pada persekitaran dan media. Kita punya kuasa dan kawalan terhadap diri masing-masing. Berperanglah dengan diri sendiri untuk berubah. Berjuanglah walaupun sukar kerana kesukaran itulah sunnah.

Apabila wujud kemahuan untuk berubah, jangan mudah menyerah kalah. Membina diri ibarat membina bangunan. Andai tergopoh-gapah dan menggunakan short-cut, alamatnya robohlah. Tidak bertahan lama!

Sama-sama kita bersabar, jiwa muda. Selepas membina, cabaran untuk mempertahankannya pula. Mempertahankan iman dan Islam sehinggalah kita mati kelak.

Setiap Manusia Punya Kebaikan

”Sejahat mana pun seorang manusia, dirinya masih punya kebaikan”, tazkirah ayah pada suatu petang.
”Masih ingat cerita seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang? Apabila bertanya kepada seorang ulama`, bagaimanakah dirinya hendak bertaubat. Ulama` itu menjawab, lelaki itu tiada harapan, hanya layak ke neraka.”

”Maka beranglah lelaki tadi lalu dibunuhnya ulama` itu, mencukupkan 100 orang. Kemudian, lelaki itu berjumpa ulama` yang kedua. Soalan yang sama diajukan. Jawapan berbeza diberikan.”

”Kamu masih punya harapan untuk bertaubat kerana Allah itu Maha Pengasih lagi Penyayang. Taubat nasuha”, begitulah berbezanya jawapan ulama` kedua. Jawapan penuh dengan kasih sayang. Dengan izin Allah jua Yang Maha Pengasih lagi Penyayang.

Lihatlah manusia dengan kasih sayang. Kata orang, ”Hate the sin, not the sinner”.
Samada melihat orang disekeliling kita, mahupun kita melihat diri sendiri. Seburuk manapun, setiap diri punya kebaikan di dalam hati. Yakinlah.

Ujian datang dan pergi. Mata hati yang celik membuatkan diri mencari. Akhirnya membentuk diri.

Sebelum pulang menuju ilahi.

Syaratnya diri sendiri!

Nota 1: Tiada nota untuk entri kali ini, cuma marilah sama-sama kita muhasabah diri