Wednesday, May 05, 2010

Hadirnya Tanpa Diundang

KEMATIAN makin hampir, detiknya kian terasa. Kehadirannya bagai belati membunuh dalam senyap, tiada siapa dan apa bisa menduga. Peranan akal pula masih kelam di balik keseronokan bertimbun-timbun dan disengajakan. Kenapa, bila, dan di mana adalah persoalan jarang dimainkan di corong-corong radio, di kaca televisyen, bahkan jauh sekali bermain di persisiran bibir setiap insani. Semuanya musnah, hancur, hanyut, kaku diusir jauh mendian di hati memulas laju agar tidak perlu ingat mahupun merintih.

Kalian dikira telah berjaya dalam hidup apabila terdetik jua untuk bertaubat, mengesali atas perbuatan lusuh sebelumnya, bercita-cita menjunjung titah perintah Tuhan dan mengakui kehinaan hamba, hamba yang tidak sombong tika hayatnya kerana satu pengharapan didambakan, tiada dua, tiada tiga iaitu bertamu di persimpangan kasih Ilahi. Keredhaan-Nya pula dipinta agar menyuluh jalan yang kelat lagi kelam, meraba-raba menuju jalan benar, jalan-jalan orang muttaqin dan solehin.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang-orang yang menjadikan dirinya (yang sedia bersih) itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)” as-Shams (:9-10)

Hidup dari hari ke sehari menghitung usia yang diberi pinjaman buat sementara cuma. Bening kilaun hati seorang hamba ketika hayat hidupnya hanya ber‘TUHAN’kan satu Tuhan, tidak pernah dicemari sumur hatinya diperhambakan oleh ‘tuhan-tuhan’ kecil kerana mahukan pujian, pangkat, sanjungan daripada manusia lain yang juga hanya seorang hamba. Berbanding usianya yang kian meningkat, tidak pula pada kematangannya membaca alam penuh bermisteri... kaki melangkah dibawa arus tanpa dibekalkan sebuah radar buat mencari di kala sesat, pulang ke jalan al-Haq.

Semuanya ditagih apabila sesal menyelubungi diri, tiada siapa yang sudi membantu, maka di kala itulah Tuhan juga tempat dia mengadu senda, menundukkan rasa keegoan membuak-buak yang pernah menghantui perjalanan hidupnya sebagai seorang hamba.

Kita duduk, kita berdiri, dan kita berjalan dalam kehidupan pada hari ini, perlu sentiasa sedar, menerima kenyataan bahawa kita hanya seorang hamba yang lemah, tidak mampu berdiri dengan sendiri, masih memerlukan sokongan manusia di sekeliling. Kita adalah makhluk yang lemah dan serba kekurangan, kuatnya kita kerana kelebihan yang ada pada Allah Taala. Namun kelebihan yang dibekalkan kepada kita belum memadai, belum cukup untuk menongkah kehidupan andai tiada terselit bersamanya keikhlasan dan rasa syukur di atas kelebihan yang dipinjamkan.

Hidup insani penuh dengan pilihan. Kadang kadang untuk membuat pilihan dalam keadaan yang senang itu lagi sukar dibandingkan apabila kita ingin membuat pilihan pada waktu susah. Ketika susah, hati kita cukup redha dengan apapun pilihan yang ada, kerana kemahuan hati telah ditutup dengan ‘kekurangan’ dan rasa syukur dari kesusahan itu tadi... tetapi pada waktu senang, nafsu manusia biasanya mendahului akal untuk membuat pertimbangan keputusan. Diberi betis mahu peha.

Demi nasihat dalam kalam-Nya, dan kerana Allah Taala dan Rasulullah s.a.w. Pilihlah apa yang telah ditetapkan Allah melalui Rasulullah s.a.w, agar jalan yang dipilih dipimpim oleh jejak-jejak baginda s.a.w... jalan yang telah dan akan menyisih musuh-musuh Allah Taala.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu perintah, ada pula pilihan lain bagi mereka mengenai urusan mereka?. dan barangsiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata!” al-Ahzab (33:36)

Tidak terkejar kemahuan diri, kerana masih dirundum matinya hati. Kematiannya diratapi, bukan hendak membaiki, malah menyalahi... menyalahi suratan takdir selepas diri tidak pernah pandai membaca suratan tersebut selepas berkali-kali dihujani masalah diri dan orang lain, tempiasnya turut sama dirasai.

Manusia yang diberi peluang merasai nikmat sebagai seorang yang senang hidup, tidak semua yang berjiwa hamba... cenderung tidak suka mengambil berat antara satu sama lain. Mencapai kepuasan diri adalah keutamaan, keadaan orang lain tidak mendapat tempat di petak pertolongannya. Apabila kesombongan menyelinap masuk bersama kepuasan tadi, maka tiada lagi kebaikan yang dilihat, yang tinggal cuma pelaburan masa depan yang menggelapkan. Seolah-olah mengali kubur sendiri. Kelebihan pinjaman-Nya tadi bukan lagi nikmat, tapi mudharat bagi si penerima kerana tidak mahu dan pandai bersyukur.

Rupa-rupanya nikmat kesenangan itu bukan lagi suatu kenikmatan kekal tapi hanya ujian tersalut padanya kerakusan dan haloba yang dangkal. Malam dan siang berlabuh pergi silih berganti, cuma diambil tahu soal bussiness, pangkat, projek dan main golf. Namun bagi mereka diberi nur cahaya hidayah Ilahi, akan terpukul jua bila kesusahan tiba-tiba menggangu fikiran. Kekurangan dalam perhubungan, membuatkan manusia cepat lemah bila susah, dan sering membuat keputusan tidak tepat bila menghadapi tekanan. Tetapi bayangkan bila wujudnya manusia yang memahami diri kita, dan mengetahui keadaan diri kita, bukankah kesusahan kita akan menjadi sedikit ringan?

Kita boleh meminta apa-apa sahaja daripada Allah Taala, tidak sedikit pun harta-Nya akan berkurangan, malah bertambah pula. Tapi, manusia sering lupa, alpa atau sesekali melekat juga rasa sombong untuk meminta kerana sudah lama bergelumang dalam kenikmatan kaya harta dunia, hingga hilang deria kemahuan untuk mengharap keampunan dan ganjaran pahala di Akhirat. Dia tidak meminta kita membalas setiap daripada permintaan kita mahukan itu, namun sebuah ketaatan dan ketakwaan kita sebagai hamba yang Faqer kepada-Nya di setiap hembusan helaan sang hamba.

Nabi s.a.w ada bersabda, bermaksud: “Amat menghairankan sekali keadaan orang mukmin itu, sesungguhnya semua keadaannya itu adalah merupakan kebaikan baginya dan kebaikan seperti itu tidak ada untuk orang lain kecuali hanya untuk mukmin itu, iaitu apabila dia mendapatkan kelapangan hidup, lantas dia bersyukur, maka keadaan itu adalah kebaikan baginya, sedang apabila dia ditimpa kesukaran, lantas dia bersabar dan maka ini pun adalah merupakan kebaikan baginya” (Hadith Riwayat Muslim)

Betapa besar nikmat bagi seseorang muslim yang diuji setiap inci penghidupannya. Antara kita sedar mahupun tidak, sebenarnya ujian itu datang untuk mengembalikan kita kepada fitrah, sesuatu yang kita mahu dan dambakan seperti damai, tenang, dan tiada rasa hiba. Membumikan muhasabah amat dianjurkan dalam Islam, kerana daripada satu sudut kita akan sentiasa terkesan di atas ujian tertimpa, rupa-rupanya telah banyak dosa telah dilakukan. Ketukan hati kembalikan manusia berjiwa hamba pada kalimah sabar, redha dan mengetahui kita adalah hamba, dan DIA ialah Tuan kepada hamba... yang tahu apa yang terbaik buat sekalian hamba-Nya. Pasti akan hadir rasa redha menghiasi hati, mengatasi rasa keluh.

Mengadu dan merintih hanya kepada-Nya.

Acapkali apabila kita ditimpa masalah, tipulah kalau pertama sekali yang terdetik di hati kita kesal dan bersalah? Fitrah manusia itu yang mempunyai pelbagai rasa hati dan perasaan membuatkan kita seringkali mudah untuk berasa yang negatif dahulu baru yang positif. Apabila ditimpa masalah mahupun musibah, hati kecil ini akan sering ber-BISIK mengapa dan kenapa? Begitu sukar bagi manusia untuk ber-TANYA mengapa dan kenapa terlebih dahulu.

Hidup kita, adalah satu ubudiyyah (pengabdian) kepada Allah Taala. Bukanlah bermakna kita hanya duduk di masjid melakukan solat, zikir, baca al-Quran dan berwirid semata-mata sepanjang masa, tetapi hidup sebagai ubudiyyah ini adalah menjadikan kehidupan kita, pekerjaan kita, pelajaran kita, sistem hidup kita, matlamat kita bergerak dan berjalan di atas landasan yang dikehendaki Allah Taala, seiringan juga matlamat yang digaris oleh agama yang termaktub di dalam al-Quran dan sunnah.

Kita perlu berubah. Ubah diri, dan ubah sistem sedia ada kepada aturan islami. Bagaimana berubah, tanya diri sendiri, kemudian betulkan persepsi dan sikap kita.