Tuesday, May 04, 2010

Dewasa

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Hari ini saya sekali lagi cuba untuk menulis sesuatu. Sejak akhir-akhir terasa tawar untuk menulis. Jika kali ini saya masih gagal untuk menulis apa-apa pasti saya akhirnya akan berkongsi artikel dari  iluvislam dengan anda. Jika mampu, saya mahu berkongsi sesuatu yang betul-betul memberi manfaat. Semoga ada manfaat dalam tulisan saya yang biasa-biasa ini.


Masalah adalah cabaran yang perlu diatasi dengan bijaksana.  Maka jika anda lari dari masalah percayalah anda akan terus diselubungi masalah tersebut

Dua hari lepas, ketika menumpang tidur dirumah salah seorang sahabat, saya berborak dengan nya mengenai masalah beliau. Masalah kehidupan yang cuba diselesaikan dengan emosi serta melupakan asas keyakinan dan syariat membuatkan segalanya ribut dan kelibut. Saya bukanlah penyelesai masalah yang baik tetapi saya cuba menjadi pendengar masalah yang baik.

Sungguh, pada mulanya saya hanya memberi bayangan apakah yang perlu difikirkan bagi menyelesaikan masalah tersebut tanpa memberi pendapat secara jelas kerana setiap kata-kata kita akan diuji maka saya bimbang, saya juga kecundang apabila diuji dengan masalah yang sama. Tetapi, alang-alang saya sudah berkongsi dengan beliau maka saya berkongsi juga dengan anda.

Menjadi dewasa itu kadang-kala menakutkan. Melihat gelagat kanak-kanak malaysia yang berpakaian dan bersolek persis orang dewasa kadang membuatkan saya tergelak sendiri. Kecil-kecil dulu mungkin kita sering berharap kita segera dewasa dengan fikiran ingin segera bebas. Tetapi apabila diri ini semakin tua sedarlah saya bahawa menjadi dewasa tidaklah seindah yang disangka.

Itulah yang dihadapi beliau. Kerisauan menjadi dewasa yang perlu membuat keputusan dan bertanggungjawab atas setiap keputusan yang telah diambil. Hidup ini sering berada di persimpangan kerana itulah kita disarankan untuk solat sunat istikharah dan memohon supaya keputusan kita dipandu oleh Allah (bukan soal jodoh sahaja istikharah). Memohon segalanya dipandu oleh Allah amatlah penting kerana mungkin yang dianggap terbaik itu bukanlah terbaik yang telah ditetapkan Allah begitu juga sebaliknya.

Apabila meminta segalanya dipermudahkan dan dipandu olehNya, hendaklah segala tindakan kita selaras dengan syariat yang ditetapkan supaya nafsu dan syaitan tidak ambil peranan. Jangan lakukan apa yang Allah tegah kerana penentu segalanya adalah Allah jua. 




Syariat itu bukanlah batu penghalang tetapi mengawal kita dari terbabas (kesimpulan dari buku Tentang Cinta). Percayalah syariat Islam itu cukup lengkap dengan segala panduan. Terdapat pelbagai ayat al-Quran yang memujuk dan menguatkan hati kita apabila menghadapi masalah. Kita sahaja yang sering alpa dan lalai.

Kita sering mendengar ungkapan ujian adalah tarbiyah dan teguran daripada Allah. Maka ada kalanya apabila menghadapi sesuatu dugaan, saya sering ingatkan diri saya supaya muhasabah apa yang telah berlaku. Indahnya pegangan orang Islam adalah segala yang berlaku ada hikmah dan Allah tidak akan menguji hambaNya melainkan ia mampu. Kerana itulah ubat bagi jiwa adalah kembali kepada agama.

Dalam hidup ini ada beberapa perkara telah ditetapkan oleh Allah seperti jodoh dan rezeki. Jadi apa yang Allah nilai adalah cara kita menguruskan 'perjalanan' menuju apa yang telah ditakdirkan oleh Allah. Saat kita akil baligh sahaja, kita telah bertanggungjawab ke atas diri kita maka kitalah yang menentukan arah tuju kehidupan kita. Jangan menyalahkan orang lain atas setiap kesilapan yang kita lakukakan tetapi terimalah kesilapan itu untuk diperbaiki.

Setiap insan mempunyai permasalah yang tersendiri. Bak kata ustaz saya, hanya orang gila tidak mempunyai masalah. Akhir kata, bagi saya dewasa adalah suatu alam yang kita bertanggungjawab terhadap segala keputusan dan tindak tanduk yang kita ambil serta masalah akan terus menyelubungi kita sekiranya keputusan kita adalah melarikan diri. Maka, berani atau lari?
Nota 1: Alhamdulillah, exam hanya berbaki satu paper lagi...Subject IMR 502...namun usaha yang super duper sangat diperlukan untuk subject ini berbanding yang lain, kerana carry  mark saya  perolehi sangatlah rendah..hanya final exam sahaja dapat membantu saya untuk lulus sabjek ini.
Nota 2: Saya selesai sudah membaca novel Stanza Cinta nurkilan ukhti Nurull Halawati( graduan UiTM Shah Alam)...novel yang sangat membangun jiwa untuk menjadi seseorang yang lebih teguh pendirian.

No comments: