Monday, February 22, 2010

Kelebihan Mengamalkan Surah Al-Ikhlas


Assalamualaikum wbt

.:: Sempurna 1 bacaan ibarat membaca sepertiga Al-Quran ::.
Rasulullah S.A.W pernah bertanya sebuah teka-teki kepada para sahabat: Siapakah antara kamu yang dapat khatam Quran dalam jangka masa dua tiga minit saja? Tiada seorang pun daripada sahabatnya yang menjawab. Malah Saidina Umar telah mengatakan bahawa ianya mustahil untuk mengkhatamkan Al-Quran dengan begitu cepat. Kemudiannya Saidina Ali mengangkat tangannya. Saidina Umar bersuara kepada Saidina Ali bahawa Saidina Ali (yang sedang kecil pada waktu itu) tidak tahu apa yang dikatakannya itu. Lantas Saidina Ali membaca surah Al-Ikhlas tiga kali. Rasulullah S.A.W menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul. Ini kerana Rasulullah S.A.W pernah berkata bahawa membaca surah Al-Ikhlas ganjarannya sama dengan membaca 10 juz kitab Al-Quran. Lalu dengan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali, maka khatamlah sebuah Al-Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 juz Al-Quran.

Dari Imam Bukhari, diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri: Ada seorang lelaki telah mendengar bacaan surah Al-Ikhlas berulang-ulang kali di masjid. Pada keesokan paginya dia datang kepada Rasulullah S.A.W. dan menyampaikan perkara itu kepada baginda sebab dia menyangka bacaan itu tidak cukup dan lengkap. Rasulullah S.A.W berkata: Demi tangan yang memegang nyawaku, surah itu seperti sepertiga Al-Quran!

“Barangsiapa yang membaca surah Al-Ikhlas, maka seakan-akan dia telah membaca satu pertiga Al-Qur'an.” ( Hadith Riwayat Ahmad dan An-Nasai )

Nota: Sejak seminggu lepas, saya membaca Al-Quran selepas solat Subuh dan bukannya selepas Maghrib seperti lazimnya kerana sentiasa bangun awal pagi untuk study. Sebaik tahu akan kelebihan ini, saya akhiri bacaan saya dengan surah ini beserta sebuah surah lagi. Berkatnya hari kita kalau dapat mengkhatamkan Al-Quran di pagi hari ya.

.:: Membina rumah di syurga ::.

“Barangsiapa yang membaca surah Al-Ikhlas sebelas kali, Allah SWT membangunkan rumah untuknya di syurga." (Hadith Riwayat Ahmad dan Muadz bin Aras)

Dari Al-Muwatta', diriwayatkan oleh Abu Hurairah: Saya sedang berjalan dengan Rasulullah S.A.W, lalu baginda mendengar seseorang membaca surah Al-Ikhlas. Baginda berkata: Wajiblah. Saya bertanya kepadanya: Apa ya Rasulallah? Baginda menjawab: Syurga (wajiblah syurga bagi si pembaca itu).

Nota: Ini real estate kita di akhirat nanti. Mari kita mengumpul dana! Tak perlu keluarkan walau sesen pun kan. Indahnya hidup!

.:: Didoakan dan dipelihara oleh para malaikat ::.

"Ketika aku (Rasulullah SAW) israk ke langit, maka aku telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan. Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang Sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang Sahara itu seluas dari timur ke barat. Pada setiap padang Sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas. Setelah mereka selesai membaca surah tersebut, maka berkata mereka "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini, kami berikan kepada orang yang membaca surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan." (Riwayat Ibnu Abbas)
Sabda Rasulullah S.A.W: Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya. Sesungguhnya 'Qul Huwallahu Ahad' itu tertulis di sayap malaikat Jibrail A.S., 'Allahus Somad' itu tertulis di sayap Mikail A.S., 'Lam Yalid Walam Yuulad' tertulis pada sayap Malaikat Izrail A.S. 'Walam Yakullahu Kufwan Ahad' tertulis pada sayap Israfil A.S. Siapa membaca surah Al-Fatihah, Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas setiap satu sebanyak 7 kali selepas solat Jumaat, nescaya terpelihara daripada perkara keji dan segala bala hinggalah bertemu Jumaat yang berikutnya. Jika dibaca 3 surah ini (Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas) pagi dan petang nescaya tidak mengalami apa-apa kesusahan.
(Saya tidak jumpa sumber sanadnya tapi tidak rugi jika diamalkan)

Nota: Terasa diri seperti ada bodyguard yang jaga atas, bawah, kiri dan kanan.

.:: Dipelihara daripada azab kubur dan dipermudahkan di akhirat ::.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi Siratul Mustaqim lalu menuju ke syurga. (Demikian diterangkan dalam Tadzikaratul Qurthuby). (Sanad yang sepenuhnya juga saya tidak temui. Sekadar kupasan daripada kitab saja.)

Nota: Saya teringatkan kelebihan membaca surah Al-Mulk sebelum tidur. Juga untuk terhindar daripada azab kubur nanti.


Saya kira cukup dulu untuk kali ini. Maafkan saya sebab ada beberapa dalil itu tidak mempunyai sanad/sumber yang jelas. Saya tidak tahu di mana hendak dirujuk lagi. Jadi, jika ada sesiapa yang tahu sumber hadis yang saya tidak sertakan sanadnya, bolehlah lampirkan di komen. Nanti saya akan kemaskinikan jika ada maklumat terkini.

Oh ya. Lagi satu surah yang saya baca selepas mengaji atau sebelum memulakan study adalah surah Al-Insyirah (Alam Nasyrah). Sudah menjadi amalan sejak tingkatan satu. Surah ini pelapang dada. Memudahkan kita menimba ilmu, penguat semangat dan pelembut hati. Elok diamalkan di pagi hari. Terutamanya selepas Subuh. Jika ada para ibu yang hendak melembutkan anak-anak yang nakal atau degil, bolehlah dibacakan surah ini di ubun-ubun kepala anak-anak ketika mereka tidur :)

Semoga dengan perkongsian ini, kita semua semakin jelas kenapa Annas dan Pakcik Mahmud mengamalkan surah Al-Ikhlas dalam kehidupan mereka. Semoga dapat membawa ilmu dan penghayatan baru dalam hidup kita semua.

Ya. Hidup untuk terus menuju ke hadapan ke arah yang lebih baik, Insya Allah :)

No comments: