Sunday, December 12, 2010

Di sebalik senyum manismu....


Di sebalik senyum manismu, kamu simpan cerita hati kamu di sudut terdalam di relung kalbumu. Tentang lirihnya hati tatkala merindu, tentang beratnya tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, tentang segala macam pahit manis asam garam kehidupan. 

Mungkin manusia lain cuba untuk meletakkan diri di tempat kamu untuk menjadi empati tapi rahsia tentang perasaan yang terpendam itu hanya diketahui kamu dan Tuhan kamu.

Zahirnya, selama ini, kamu telah penat menjadi kuat berseorangan. Tapi wahai sayang, hakikatnya, kamu tak pernah sendirian, kamu punya Tuhan sekalian alam, yang tak pernah meninggalkan kamu walau kamu terlupakannya. 

Kamu ada Tuhan, yang masih menghidupkan kamu dalam limpahan kasih sayang. Al-Wadud yang menawarkan cinta agung kepada kamu, cinta yang tidak dikhuatiri berakhir dengan pengkhianatan, kekerasan, penentangan atau keretakan.

Kumpullah cebisan kekuatan yang masih bersisa dan angkatlah wajahmu menghadap langit dan empanglah kesedihan kamu. Jalan ini masih panjang maka cekalkan keazaman dan melangkahlah dengan tabah. Proses pendewasaan memang melelahkan tapi padanya terdapat sebaik-baik pengajaran yang memanusiakan.


Kekuatan bukan untuk dicari, tapi untuk dibina. Dan saat ketika pilihan itu yang kamu mahukan, tentunya kamu sudah habis menimbang tara segala keputusan. Ini yang terbaik, insya allah.

Sebenarnya kamu kuat, lebih kuat daripada apa yang kamu jangkakan. Seharusnya kamu terus-terusan menjadi kuat kerana begitu ramai yang mendoakan. 

Menangislah, untuk menyirami jiwamu yang kontang. Setiap titisan air mata itu ada hitungan pahala untuk dihisabkan kelak. Mungkin, kamu tidak dapat banyak perkara tetapi kamu juga tidak tahu apa yang telah Allah sediakan untuk kamu. 

Bersangka baiklah. Bertenanglah dengan ujian ini. Bersabarlah dengan ketetapan ini. Semoga Allah memelihara yang di sini dan juga yang di sana dan di antara keduanya :)

Kamu, tidak perlu berpura-pura kuat sepanjang masa. Cukuplah kamu saja yang tahu yang kamu kuat.

No comments: