Pernahkah terasa marah yang teramat pada seseorang yang kita sayang? Teramat marah sehinggakan terasa ingin lari jauh daripadanya. Marah sampai adakalanya rasa tidak mahu lagi menghabiskan hari-hari menatap wajahnya. Pernah?
Sebagai manusia biasa tidak dinafikan adakalanya nafsu amarah menguasai fikiran. Jiwa berkecamuk mempengaruhi tindakan. Sehinggakan akal terpinggir, emosi tertekan.
Lantas, apakah tindakan mewaraskan fikiran? Agar tiada hati terluka, merana dan sengsara.
Seringkali, bila hati sendiri terluka. Hanya diri sendiri yang tahu ubatnya. Lantaran tiada siapa yang hadir menghulur tanda. Bahawa dia sedia mendengar dan memujuk jiwa lara. Hanya kepada Allah tempat mengadu. Melampiaskan tangis dan juga sendu. Mohon dikurniakan segenap kekuatan. Dalam jiwa mercup ketenangan.
Duhai diri lihatlah cahaya. Pada dirinya yang tulus mencinta. Dia juga insan biasa. Tiada lari dari dosa. Bahkan kasihnya menggunung tinggi. Terpahat kukuh di dalam hati. Biarpun bibirnya bisu menyepi. Sentuhan kasihnya setiap hari. Ciuman di pipi sentiasa diberi. Mengiringi langkah keluar berbakti. Juga usaha mencari rezeki.
Duhai diri lihatlah matanya. Diulit payah menelan tabah. Dia insan, kekasih hati. Juga sahabat di kala sepi. Hargailah dia jangan dinafi. Pengorbanannya ikhlas demi dakwah dan islah. Biar diri letih dimamah. Semua direnang semua diredah.
Bila direnung rasa kasih menggunung. Sedarlah diri nilai kasihnya. Tiada ke mana amarah membuta. Cuma siraman api membara. Sejukkan dengan wudhu' dan doa. Moga diri sentiasa sedar. Memilih intan dari kaca. Kerana cinta hamba turutkan. Kerana kasih hamba sabarkan. Moga di syurga kita ketemu. Bertaut iman, redha bertamu.
Amin Ya Rabbal 'Alamin
No comments:
Post a Comment