Bukan sekali dua, bahkan telah banyak kali dia memberi saya kad atau surat cintanya. Akan tetapi tidak satu pun yang saya balas. Seingat saya, saya hanya pernah memberi kad ucapan tahniah atas kejayaannya. Itupun, sudah lama dulu. Oh, ya. Juga kad sempena ulangtahun kelahirannya tahun lepas. Sudah lama rupanya saya membiarkan kad dan surat cintanya tanpa balasan.
SEKOLAH YANG MENGGEMBIRAKAN
Wajah mereka nampak ceria sekali. Melihat itu, saya tersenyum lega. Bimbang juga mulanya.
" Bagaimana sekolah Kak Long Kak Ngah tadi, seronok ?" saya memulakan perbualan sambil menemani mereka makan nasi. Kak Long mengangguk. Kak Ngah pula hanya tersenyum sambil mulut terus mengunyah ayam goreng kegemarannya.
" Tentulah seronok Ummi. Cikgu baik, kawan-kawan pun ramai, " Kak Long mula buka bicara.
" Kak Ngah, tak takut bercakap Bahasa Inggeris?"soal saya menduga.
" Taklah. Kak Ngah cakap campur-campur dengan kawan-kawan Melayu. Dengan kawan Mat Saleh, Kak Ngah cakap sikit-sikit je dulu,"balasnya yakin.
Mulut saya melafaz syukur pada Ilahi, Alhamdulillah. Bimbang yang bertamu pagi tadi hilang melihat anak-anak gembira bercerita tentang sekolah baru mereka.
Rupanya benar sebagaimana yang saya dengar dari mulut-mulut saudara mara dan kawan-kawan. Anak-anak Malaysia di UK sangat suka bersekolah, sampaikan ada yang menangis kerana hendak ke sekolah tetapi terhalang oleh sebab-sebab kesihatan seperti demam dan sebagainya.
SERUPA TAPI TAK SAMA
Mengenang kembali persekolahan anak-anak di Malaysia, keadaan yang sebaliknya berlaku. Gembira mereka ialah bila cuti sekolah bermula. Buka semula semester, wajah masam di pagi hari datang kembali. Suasana yang sangat kontra berbanding di UK ini.
Di sini, pada pengamatan saya, ada dua sebab utama anak-anak sukakan sekolah.
Pertama : Guru-guru yang dedikasi dan komited dengan tugas. Mereka tegas dalam kelembutan. Mereka memberi dengan senyuman. Amat jarang, saya mendengar anak-anak bercerita tentang guru-guru yang marah atau menengking pelajar di dalam kelas. Mereka hanya menegur dengan lembut sekiranya ada pelajar yang melakukan kesilapan, hinggakan kesalahan dalam buku latihan juga mereka tidak akan pernah menggunakan pen merah. Mereka hanya menulis dengan pen hitam atau biru. Mungkin ada benarnya, bak kata pantun moden orang Melayu ,
Pen merah pen biru, U marah I love you
Merah lambang marah, sebaliknya biru tanda cinta dan sayang. Ironisnya, di Malaysia. Menanda buku pelajar dengan menggunakan pen selain warna merah adalah salah. Satu tindakan, tapi berbeza pendekatan.
Kedua : Kata-kata peransang dari guru tidak pernah tiada dalam kamus persekolahan sehari-hari mereka. Boleh dikatakan hampir setiap hari anak-anak saya akan membawa pulang pelekat ( sticker ) yang bertulis, Well done !, Keep it up!, You are the best ! dan berbagai lagi kata-kata berbentuk galakan mahu pun pujian. Demikian juga di dalam buku-buku latihan. Setiapnya mesti diakhiri dengan motivasi supaya pelajar memperbaiki tugasan mereka di lain hari. Lebih mengujakan, saban minggu ada sahaja pelajar-pelajar yang dianugerahkan sijil penghargaan ( award ) atas sikap baik yang mereka tonjolkan walaupun hanya dengan duduk diam di dalam perhimpunan sekolah.
Teacher's Special award
Presented to
Husna Zaharuddin ( 4 SC )
For Sitting Perfectly during year 3 and 4 assembly.
Keadaan ini tidak pernah saya jumpa di Malaysia. Lebih mendukacitakan, buku latihan anak-anak hanya banyak bercatat dengan arahan atau tiada lansung pujian yang diberikan. Bagaimana benih yang baik akan tumbuh menghijau jika tidak dibaja dan disiram?
PENDIDIKAN MENYENTUH HATI
" Kenapa Kak Long guna komputer lama sangat. Ummi kata lepas solat, turn Kak Ngah pulak, " suara Kak Ngah kuat jelas kedengaran di telinga saya yang sedang membasuh pinggan di dapur.
" Ala, Kak Long nak betulkan layout blog Kak Long sekejap. Itu pun tak boleh, " jawab Kak Long pula.
Anak lelaki bila bermain dan bergaduh boleh bergoncang seluruh rumah, tapi anak-anak perempuan bila bertengkar boleh menaikkan amarah. Saya cepat-cepat ke depan.
" Kak Long dan Kak Ngah tentu tak solat betul-betul semasa berjemaah tadi," saya mencelah tanpa menyebut punca pergaduhan mereka sebelum ini.
" Kenapa pula Ummi?" Kak Ngah bertanya kehairanan. Bingung barangkali. Mereka bergaduh tapi solat pula yang dibangkitkan.
" Sebab Allah kata dalam al Quran, sesungguhnya solat dapat mencegah dari perbuatan tidak baik. Orang yang solatnya betul dan sempurna tentu tak bergaduh,betulkan? " saya menjelaskan kaitan antara pergaduhan dan solat mereka. Kak Long dan Kak Ngah menguntum senyum. Mereka meminta maaf dan kembali berdamai.
Mendidik dengan kasih sayang dan penuh rasa cinta seharusnya menjadi tunggak seorang wanita bergelar ibu. Dia sewajarnya menginsafi bahawa tidak ada satu pun yang dapat menghalanginya untuk memberikan keperluan jiwa seorang anak berupa kasih sayang dan perlindungan baik dalam menegaskan kebaikan mahu pun mencegah keburukan.
Jika sikap baik seorang guru yang memberi penghargaan berupa pujian, ransangan dan senyuman boleh melahirkan pelajar yang sukakan sekolah; apatah lagi seorang ibu yang mengalir di dalam batinnya fitrah kasih dan cinta kepada insan bernama anak. Dari saat mengandung dengan penuh lelah dan payah sehingga tiba masa melahirkan dengan nyawa sebagai pertaruhannya.
Seterusnya, tugas mengasuh dan membesarkan dari kecil hingga dewasa. Tentu saja, dari kasih dan cinta seorang ibu seperti ini akan meransang hati seorang anak untuk menjadi anak yang berbakti. Ibu mendidik dengan hati, anak menerima juga dengan hati. Dua jiwa , satu hati.
Inilah kelebihan wanita yang waktu dan masanya lebih banyak diluangkan untuk mengasuh anak-anak di rumah. Dengan tangannya sendiri dia membelai jasad dan tubuh fizikal anak-anak melalui tugas-tugas rumahtangga seperti membersihkan pakaian, menyediakan makan minum serta memastikan persekitaran rumah yang bersih dan menenangkan, juga dalam masa yang sama menyentuh hati dan rohani melalui didikan al Quran, akhlak dan budi seorang mukmin sejati. Tanggungjawab yang bukan sedikit imbalannya, agar lahir dari didikannya nanti seorang pemimpin dan generasi soleh di masa depan.
SURAT CINTA, SUARA CINTA
Saya mengambil kertas tebal berwarna merah jambu. Kali ini saya mesti membalas surat cintanya. Saya Lipat dua dan saya tuliskan di atasnya dengan pen berdakwat biru,
Surat cinta untuk Kak Ngah
Di dalamnya, saya coretkan pula kata-kata : Ummi sayang Kak Ngah. Jadi anak solehah ye. Saya letakkan di atas papan kekunci komputer di dalam bilik permainan anak-anak.
" Terima kasih Ummi, " tiba-tiba muncul wajah Kak Ngah tersenyum menunjukkan kad yang diterimanya di balik daun pintu dapur.
Sama-sama anakku. Kad itu hanya kad biasa, berisi suara cinta seorang ibu. Jadikan ia sebagai peransang dan pembakar semangatmu, bahawa di sini ada seorang ibu yang sentiasa mendoakan kesejahteraan hidupmu. Dunia dan akhirat sana. Semoga, bila tiba masanya, kau juga tidak lupa mengirimkan surat cintamu untuk ibu dan ayah melalui doa setiap akhir solatmu.
" Ya Allah, ampunilah dosaku. Ampunilah juga dosa kedua ibu bapaku. Dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku semasa aku masih kecil. Amin "
Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.
No comments:
Post a Comment