Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ku panjatkan ke hadrat Ilahi atas kurniaan nikmat Iman dan Islam yang kuwarisi, nikmat kesihatan, masa lapang dan akal yang waras. Bukan semua daripada manusia hari ini yang punya kesempatan untuk merasa nikmat yang Kau berikan padaku Ya Rabbi. Lebih-lebih lagi nikmat Iman dan Islam. Biarpun kedua nikmat ini aku warisi daripada kedua orang tuaku, dan sahabat-sahabat ku pernah membincangkan soal Islam warisan yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu Islam, aku tetap bersyukur kerana lahirku dalam agamaMu, dan aku harapkan perjalanan hidupku masih dalam agamaMu dan begitu juga akhir hayatku masih tetap utuh peganganku pada agamaMu.
Setiap kejadian yang Kau takdirkan dalam hidupku, begitu banyak mendidik dan mungkin istilah yang lebih tepat adalah mentarbiyah rohani ku yang selalu lupa dan leka. Alhamdulillah Ya Karim…aku amat-amat bersyukur atas kurniaan yang Kau berikan. Alhamdulillah, Kau kurniakan kepadaku umi dan abi yang beragama, lebih-lebih lagi agama yang Kau redhai di sisiMu. Kerana dengan titik tolak umi dan abi mengajarku dan adik-adik ketika kecil kewajipan solat, aku mula kenal akan agamaMu. Kata umi, kita orang Islam perlu solat. Kalau tak, Allah marah. Walaupun ketika itu aku dan adik-adik solat kerana gerun dengan perkataan MARAH yang umi ungkapkan, juga kerana takut dirotan umi dan abi dan bukan sepenuhnya ikhlas keranaMu, aku bersyukur Ya Rabbi kerana itu saatnya aku bersujud padaMu, bertasbih padaMu walaupun aku sedar ketika itu aku masih banyak tinggalkan perintahMu. Namun Ya Rabbi, Kau menjadi saksi bagaimana aku dan adik-adik akan teruk dimarahi umi dan abi jika kami melalaikan solat.
Alhamdulillah… Aku masih ingat bagaimana aku mula mengenal erti menutup aurat. Dan aku percaya itu adalah ketentuanMu kerana setiap apa jua yang berlaku dalam dunia adalah di bawah pengawasanMu. Walaupun umurku hanya 9 tahun, dan tujuanku bertudung bukanlah sepenuhnya kerana menurut perintahMu, hanya kerana malu kepada rakan-rakan sepermainanku yang ketika itu kebanyakannya sudah mula bertudung, aku bersykur Ya Rabbi atas kurniaan detik itu. Kerana itu permulaan hidupku belajar menurut satu lagi tuntutan dalam agamaMu. Zaman kecilku yang penuh dengan cubaan mengajar dan mendidikku menjadi matang seiring dengan peningkatan umurku.
Zaman berganti dan masa terus berlalu. Bagaimana Kau temukanku dengan mereka yang Kau takdirkan kenal akan agamaMu dengan lebih mendalam. Aku dikelilingi dengan sahabat-sahabat yang baik dan beriman, Alhamdulillah. Walaupun aku tahu, aku bukanlah hambaMu yang baik Ya Karim, tapi Kau tetap peliharaku dengan kurniaan sahabat-sahabat yang banyak mengingatkan ku. Walaupun ketika itu, aku ego dan susah untuk terima, namun jauh di sudut hatiku, aku mengakui kebenaran teguran-teguran mereka. Aku tahu yang mereka tegur atas dasar hak sahabat kepada sahabatnya. Alhamdulillah, walaupun aku tidak mahu menzahirkannya, Kau kurniakan aku rasa itu dan cukup dengan rasa itu buat aku berfikir sendiri.
Keputusan perubahanku daripada bertudung biasa kepada bertudung labuh mengejutkan keluargaku, terutama umi. Kau menjadi saksi bagaimana orang sekelilingku meluahkan rasa tidak selesanya kepadaku pada malam itu. Aku hanya diam namun jauh dalam sudut hatiku, aku kecewa kerana tidak mendapat sokongan daripada rakan-rakan pada mulanya. Tapi entah mana datang kekuatan itu Ya Karim…aku terus mempertahankan keputusanku . Kerana aku tahu Kau sentiasa bersamaku. Alhamdulillah..mereka akhirnya dapat menerima walaupun aku perlu menunggu lama. Benarlah soal hidayah bukan urusan manusia, hanya Kau yang berhak ke atasnya. Kau menjadi saksi air mata kesyukuran ku mengalir bila mana sahabatku sendiri menawarkan sarung tangan dan sarung kaki yang sengaja dibelinya ketika pulang dari Bandar. Kau sendiri menjadi saksi Ya Rabbi, hatiku sayu dan sebak bila sahabatku menjelaskan, sahabatku yang meminta seorang lagi sahabatku yang lain membelikanku semua itu. Alhamdulillah…amat besar hadiahMu buatku Ya Rabbi.
Biarpun mungkin bagi mereka yang lain, itu hanya soal yang remeh, namun tidak padaku kerana aku yang Kau takdirkan melaluinya. Namun aku tetap bersyukur Ya Rabbi. Benarlah kurniaan nikmatMu terlalu banyak Ya Allah. Aku tidak mungkin dapat menimbangnya, menulisnya, sekalipun mengingatinya, sejak mula Kau berikanku kehidupan di dunia dan sehinggalah hari ini. Apa yang mampu ku lakukan Ya Karim, terus berusaha menjadi hambaMu yang bertaqwa. Aku akan tetap berusaha Ya Karim. Dan aku yakin, aku tidak punya sesiapa andai aku jauh dariMu biarpun seluruh mereka yang berkuasa di dalam dunia sanggup menolongku. Kerana aku punya memori itu. Ketika aku disisihkan mereka yang paling aku sayangi, Kau berikan aku kekuatan itu. Alhamdulillah…
Kau berikan aku keyakinan yang Kau akan tetap berada di setiap nafasku, di setiap urat nadiku, di setiap alir darahku. Alhamdulillah…Aku yakin setiap yang Kau takdirkan kepadaku adalah sesuai dengan kesanggupanku kerana Kau begitu sayang kepadaku. Aku memohon akan kekuatan itu….. " khaty, cepatlah. Nanti lambat ke kelas.." sapa zati, teman serumahku di ku bila dia melihat aku masih lagi di meja belajar, mengarang sesuatu. " Ye...kejap..." Aku menekan button 'Publish Post' pada Blogku yang kugunakan. Alhamdulillah...selesai. " Mesti dah publish ni" Detik hati kecilku. Dan kini karangan itu menjadi tatapan kalian. Alhamdulillah, Terima kasih.
No comments:
Post a Comment