Tanpa bekalan, pendakwah mudah gugur

BUKIT DAMANSARA, 26 Disember - Seorang pendakwah muda perlu menyediakan dirinya dengan pelbagai ilmu dan ketrampilan kerana tanpa bekalan secukupnya, cabaran dan tekanan akan menjadikan dirinya mudah tergelincir dari landasan dakwah. Antaranya adalah ilmu berkaitan apa yang hendak disampaikan dan cara penyampaiannya. Seorang pendakwah yang baik perlu memahami apa itu Islam dan tahu pula bagaimana hendak membuat orang lain tertarik untuk mendengar tentang Islam itu daripadanya.
Bekas Profesor Madya Fakulti Syariah, Akademi Islam, Universiti Malaya, Ustaz Alias Othman menitipkan noktah tersebut dalam penyampaiannya berkaitan bekalan di jalan dakwah buat para pemuda bertajuk 'Persiapan Para Du'at Sepanjang Perjalanan Dakwah'. Beliau diundang membuat pengisian sempena Perhimpunan KARISMA Nasional (PKN) 2009 di Masjid Umar Al-Khattab di sini semalam.

"Anda juga perlu menguasai ilmu yang mampu menentukan sama ada sesuatu perkara itu selari dengan syariat atau tidak, yakni memastikannya tidak bercanggah dengan nas, bersesuaian pula dengan keadaan masyarakat setempat (mudah diterima oleh orang awam), bersifat adil dalam mengkritik sesuatu dengan menyatakan keburukan dan kebaikannya sekali, tahu meletakkan keutamaan dalam melakukan sesuatu tindakan dan mampu berpegang kepada nas yang lebih selamat andaikata terdapat dua nas yang kelihatan saling bercanggah," jelas beliau lagi.
Bertolak dari situ, pendakwah perlu pula mahir melaksanakan operasi serta bijak dalam pengurusan dan keterampilan diri. Menurutnya, pendakwah ibarat doktor yang harus pergi kepada pesakit untuk merawatnya. Jadi dia perlu berketerampilan, umpamanya dari sudut psikologi dan bahasa.
Sungguhpun membincangkan perkara serius, para perwakilan yang mendengar kelihatan segar kerana penyampaian beliau dibantu pertunjukan multimedia menarik diselang-seli dengan jenaka bersahaja dan santai.
Agak lucu dan terpukul hadirin apabila Ustaz Alias yang diketahui menguasai ilmu agama dan syariah ini mengusik berkaitan isu bahasa, "Saya sangat sakit hati dan sakit telinga apabila mendengar orang menggunakan perkataan 'mereka-mereka' (sepatutnya 'mereka') dan 'para-para hadirin' (sepatutnya 'para hadirin')." Kemudian, dengan nada berseloroh, beliau menjelaskan 'para-para' adalah tempat ibunya menyimpan belacan ketika beliau masih kecil dahulu.
Ilmu lain yang harus dipelajari adalah ilmu berkaitan organisasi termasuk gerakan, pendekatan, visi, misi dan strategi dakwah serta ilmu berkaitan pengurusan.
"Selain itu, anda juga perlu tahu tentang Islam dan musuh Islam, masyarakat dan komunikasi. Ertinya, kalau kita nak sampaikan Islam, kita kena tahu apa itu Islam, bak kata pepatah, 'minta sisik pada haruan, minta sengat pada keli.' Jangan minta sisik pada keli, atau minta sengat pada haruan," katanya.

"Hiduplah secara sederhana, berbelanjalah di bawah paras kemampuan dan didiklah keluarga berjimat cermat. Akhirnya, buatlah simpanan kekal walaupun sedikit, buat perancangan kewangan bulanan dan elakkan pembaziran," katanya lagi.
Pada usia 68 tahun, Ustaz Alias tampak masih bertenaga dan intonasi suaranya tidak banyak berubah jika dibandingkan dengan 20-30 tahun yang lalu. Formula beliau ialah sentiasa bersemangat memperjuangkan kebenaran serta yakin dengan pertolongan Allah.
Perhimpunan KARISMA Nasional 2009 pada 25-26 Disember tahun ini menginjak usia 10 tahun penubuhannya dan tema yang dipilih ialah 'Sedekad Mengukuh Tekad'. Kira-kira 300 perwakilan hadir dalam PKN kali ini.
3 comments:
ini copy dari Malaysia Harmoni ke?
hahah selebet gile kakmia..
lalalaa~
sha> kak mia.............
ida kan......
kahfi8> haah ana copy dr sana
Post a Comment