Tanpa merokok bukan sahaja menyelamatkan kesihatan. Bahkan, tanpa merokok juga boleh menjadikan anda jutawan! Tidak percaya? Mari kita baca kisah pendek di bawah.
Pelaburan Merokok
Ketika sesi perkongsian bajet bulanan keluarga di Sabak Bernam, didapati ramai golongan bapa yang merokok. Lalu, beberapa persoalan dilontarkan. Antaranya, berapa banyak rokok yang dihisap setiap hari.
“Tidak banyak, hanya dua kotak rokok sahaja”
Soalan seterusnya, “Berapa banyak yang dibelanjakan?”
“Saya beli yang termurah. Hanya RM 3 sekotak. Jadi sehari baru RM 6.” Jawabnya selamba tanpa rasa bersalah sedikit pun.
Soalan dilanjutkan, “Sejak bila agaknya mula merokok?”
“Umur 18 tahun sudah mula…” pantas sekali jawapan diberi.
Pakcik tersebut berumur 48 tahun. Bererti, beliau sudah merokok selama 30 tahun. Besar kemungkinan tabiat ini akan diteruskan sehingga akhir hayatnya. Katakanlah umurnya sehingga 58 tahun, bererti, beliau akan merokok selama 40 tahun!
Boleh Jutawan
Kami pun mulalah mengira dengan harga sekotak rokok RM 3.
1 hari = 2 kotak rokok
2 kotak rokok = RM 6
1 bulan: 30 hari X RM 6 = RM 180
Katakanlah duit ini dilaburkan dengan pulangan 15 peratus setahun selama 40 tahun. Bayangkan betapa terkejutnya kami mendapati hasil keseluruhan PEMBAZIRAN ini mencecah = RM 4, 148, 400.69
Naik seram sejuk dibuatnya. Terkebil-kebil mata pakcik yang kami temuduga. Senyap sunyi satu dewan seminar. Ini merupakan perkiraan dengan menggunakan ‘financial calculator’ sahaja, jadi jumlahnya adalah benar.
Siapa kata orang Melayu tidak boleh jadi jutawan?
Akhir kalam, pakcik itu bernekad untuk berhentikan tabiat merokok.
Buku Ke Mana Wang Anda?
Kisah di atas dipetik dari sebuah buku. Buku yang ingin sekali saya membelinya untuk panduan bijak berbelanja. Alhamdulillah, buku ini adik saya baru memberikan kepada abi saya. Satu hadiah yang tidak disangka-sangka, namun besar ertinya.
Harta bukanlah milik mutlak manusia. Harta adalah milik Allah swt dan manusia adalah `pemegang amanah` yang menguruskan harta tersebut. Begitu cantik sekali perkara ini dijelaskan dipermulaan buku. Sekaligus, membetulkan sudut pandang orang Islam tentang definisi harta.
Setiap bab cukup praktikal dan membuka mata. Bahkan, amat berguna untuk mereka yang masih bergelar pelajar. Berguna buat semua yang sudah didedahkan tentang penggunaan wang. Anak sekecil masih di tadika turut diberikan tips untuk bijak berbelanja.
Setiap makhluk telah ditetapkan rezeki buatnya. Hatta cacing dicelah batu-batan. Inikan pula manusia yang dikurniakan akal fikiran. Tidak rugi untuk mendapatkan buku ini di pasaran. Kita tidak pernah merancang untuk gagal, tetapi kita gagal untuk merancang. Rancanglah agar harta yang dimiliki berkat lagi membahagiakan.
No comments:
Post a Comment