Alhamdulillah, di dalam kesibukan saya, masih sempat untuk mengisi utaian manik-manik di lembaran ini. Pasti ada antara para sahabat yang menunggu buah tangan terbaru saya. Terima kasih untuk itu.
Untuk entry kali ini, izinkan saya berkongsi warkah kasih ini yang ditulis sebagai menemani kedukaan seorang sahabat lama yang sedang meratapi pemergian abang tercinta. Mudah-mudahan sedikit terubat kelaraan Qalbunya menahan tusukan halus jarum kesedihan ini.
Inilah isi kandungan Warkah Kasih Buat Kamu Muhammad Khalid
Buat teman Ku dikasihi,
Bangkitlah...
Baik buruk perjalanan hidup kita di atas hamparan duri dunia, masih ada lagi yang sudi menghulur tangan, memberi kasih dan sayang, dan turut merasai keperitan diari tersurat, memberi harapan di sebalik tersirat. Tiada hati paling sempit daripada manusia yang alpa mengingati Allah, tiada jiwa paling resah daripada manusia menggantungkan hatinya selain kepada Allah Taala.
Tidak cukup dengan apa yang ada, dan terus haloba dengan apa yang tiada.
Wahai teman...
Aku mengerti dengan apa yang sedang menimpa dirimu. Aku bisa merasai kesedihan demi kesedihan menimpa dirimu. Jatuh, dan jatuh lagi. Hinggalah kamu bangkit dalam perjuangan hidup yang telah menelan ramai manusia yang kering daripada rahmat Ilahi. Di saat kamu bangkit, tiada siapa yang sudi ambil tahu dan mahu. Kepulangan abangmu tersayang ke rahmatullah menambah lagi liku-liku hidupmu, menambah lagi bebenan yang sedia ada.
Aku tahu, aku mengerti...
Saat aku menulis ini, mungkin engkau masih meratapi pemergian abangmu tercinta. Namun kamu tidak perlu bersedih, kerana masih ada aku dan teman-teman yang setia di sisi.
Abangmu yang telah meninggalkan kenangan indah bersamamu sebagai anak lelaki harapan keluarga. Kenangan yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hidupmu. bercindai, tawa, suka, ukiran senyuman dan semua yang ada pada arwah abangmu akan menjadi ubat di saat kamu merindukan belaian seorang abang darinya.
Maafkan aku teman. Andai di saat aku menikmati keindahan pelangi cinta dan kasih bersama insan tersayang di sisi, tidak pula dirimu yang dipaksa menongkah kedingingan dan kepanasan mehnah keseorangan tanpa bumbung menangkis kerakusannya merobek jiwa kecilmu.
Sebenarnya, arwah abangmu jua tidak mahu perpisahan ini berlaku di saat kamu perlu bangkit meredah, membaca suratan dunia yang berpuakan ini. Namun Tuhan berkehendak lain. Bukan kerana Dia benci kepada abangmu tapi karena Dia menyayangi abangmu dari yang lain. Dia tidak menghendaki abangmu menderita dengan menahan rasa sakit yang berpanjangan. Aku yakin, itulah jalan yang terbaik bagi abangmu. Kerana Dia selalu memberikan yang terbaik bagi Hamba-Nya.
Ingatlah Allah di kala dukamu ini.
Tiada Syurga paling indah tika hidup di dunia melainkan ketabahan semasa rebah, kesabaran semasa meredakan baran. Tiap-tiap saat di titisan keringat itu meluaskan lagi hamparan istana di Syurga akhirat-mu nanti. Ingatlah Dia, pasti Dia memandang keperluanmu di kecercaan menakutkan ini. Ujian ini, adalah tanda kasih dan cinta-Nya kepadamu. Dia telah memilih dirimu antara seribu.
Hargailah untuk kamu berubah.
Wahai teman...
Jujurnya, aku sepatutnya berasa dengki dengan keadaanmu. Aku tidak pernah teruji seperti apa diuji kepada dirimu ini. Malam pasti berlalu, bebelengu pasti patah. Dunia ini tidak pernah membiarkan seseorang hidup kekal, dan tidak pula membiarkannya dalam suatu keadaan yang beerti. Kamu mesti keluar dari kepompong ini secepat mungkin, demi janji-janji Ilahi kepada setiap hamba-Nya. Kamu pasti...
Katakanlah kepada kaum Badwi itu, sesungguhnya engkau telah dibebaskan dari perjalanan di malam hari yang kelat, gelap gelita yang pekat dan dari menempuh padang sahara yang jauh, panas lagi meletihkan. Tinggalkan kisah silam yang menjenuhkan itu. Mulakan langkah sekali lagi.
Kita pasti bangkit.
Engkau tidak perlu meminta maaf. Sebelum helaan nafas terakhir abangmu, dia sudah memaafkan dirimu. Justeru, mulakan diari hidupmu yang baru, simpanlah diari lama ini agar ianya masih segar diingatan, yang sudi menemanimu, mengagahi langkahmu, dan menjadi tempatmu bermanja senda.
Kini abangmu telah pergi. Terimalah hakikat takdir-Nya. Tentu arwah tidak akan kembali melakar diari baru bersamamu. Engkau adalah engkau.
Bangkitlah...
Peraih Cinta-Nya
No comments:
Post a Comment