Tuesday, June 29, 2010

Ceritaku Dihari Lahir ( Motivasi: Mewarnai Kehidupan Insani )

 Terima Kasih buat umi melahirkanku, abi memberi nafkah padaku, mentarbiyahku,menjadi pendengar setiaku dan sentiasa disisiku, 
Doakan anakmu ini berjaya dunia dan akhirat.
Ampunkan segala dosaku


Assalamualaikum wbt

Kesempatan yang ada untuk saya mencoret sesuatu disini, perancangannya untuk menulis sesuatu disini semalam sempena hari lahir, namun sedikit kekangan dan musibah yang terjadi tidak mengizinkan. Insya Allah saya akan gunakan ruangan masa yang ada ini dengan sebaik mungkin. Kebelakangan ni diari hidup dipenuhi dengan tugasan harian menguruskan rumah dan begitu lah setiap kali cuti semester berlalu. Jika tidak menghadirkan diri ke program samaada KARISMA mahupun NISA', dan kawasan perumahan saya, saya lebih selesa bersama umi dan abi menonton perlawanan bola adik saya di Ampang atau menemani adik bongsu saya menghadiri latihan bola sepak di Pandan Indah yang biasanya dihujung minggu. Mengajar mengaji setiap hari kecuali hujung minggu menjadikan saya terikat di rumah kerana sesi kelas diadakan pada waktu magrib hingga isyak. Namun saya bersyukur selain mencari ganjaran Allah sebanyak yang mungkin dengan mengajar mengaji, selain itu pendapatan sampingan yang agak berbaloi memudahkan saya menampung perbelanjaan pengajian saya yang masih berbaki setahun setengah lagi, insya Allah. ( insya Allah saya dalam perancangan menghasilkan satu entry khas unutk memperkenalkan kesemua 56 anak murid saya yang comel-comel belaka). Kids make me smile without any reason

Alhamdulillah semalam (28 June 2010)  genap umur saya menjengah 22 tahun, 22 tahun yang dilalui dengan penuh memori duka dan suka yang dilipat penuh rapi saban tahun. Ada memori yang saya mahu ia terus segar diingatan dan ada memori yang saya mahu ia terus dilupai dalam lipatan sejarah. Arghh..sungguh menyeksakan, namun itulah namanya rencah kehidupan. Minggu lepas saya letakkan dalam diari  peribadi saya dalam satu lagi blog peribadi sebagai minggu air mata. Bermula dengan sedikit perselisihan faham dengan umi dan akhirnya diakhiri dengan air mata dan semalam sekali lagi saya menangis kerana terlampau menahan marah, dan mungkin menjadi memori luka dimana saya menangis pada hari lahir. Moga tarbiyah yang dititipkan dari ustaz dan ustazah kesayangan saya menjadi bekalan unutk terus tabah dan tidak mudah melenting pada masa akan datang. Walau apa pun peristiwa semalam adalah sesuatu di luar jangkaan saya. Saya terus melenting dengan mendadak, ditambah pula keadaan saya yang sedikit serabut minggu lepas , maaf pada semua.

Hari Lahir kali ini tanpa kek mahupun sambutan, bukanlah sesuatu yang menyedihkan kerana sudah menjadi  senario dalam keluarga saya. Jika ada pun ia disambut andai berkesempatan, jika tidak ia akan dilalui seperti hari-hari lain. Hanya ucapan dengan pelbagai doa dan harapan dari sahabat yang jauh dan dekat. Terima kasih semuanya. Saya sayangkan anda semua. Semua sahabat di Facebook saya terima kasih tidak terhingga atas ucapan kalian. Namun pinta saya jangan lupa untuk mendoakan saya dipertemukan jodoh dengan insan yang lebih mendekatkan diri saya pada-Nya, dan lebih membimbing saya menjadi lebih kuat dan tabah. Umi sudah bermacam cara memberi signal pada saya semenjak dua menjak ni untuk serius dalam soal berumah tangga, umi mahukan saya sudah mula untuk memikirkan dengan lebih serius tentang soal jodoh. Satu perkara yang saya sebenarnya tanamkan dalam lubuk hati saya untuk tidak dibicarakan dan menjadi topik perbualan walau dalam apa keadaan sekalipun. Namun akhirnya timbul juga. Ya Allah....Moga perancangan-Nya menentukan segalanya.

Saat emosi saya kian pulih, saya mula berfikir balik akhirnya sesuatu pengajaran yang diperolahi dari musibah semalam. Moga hasil artikel ini bukan sahaja mendidik jiwa saya malah kalian juga, insya ALLAH


KEHIDUPAN
insani memang sentiasa diwarnai, warna-warna ini membentuk laskar pelangi yang pelbagai. Warna kehitaman sinonimnya adalah sifat antagonis yang berlawanan dengan sifat utama, dipalit warna kehitaman di setiap langkah mengukir warna-warna hidup ini sedikit mengundang keresahan di hati bagi setiap manusia yang bertuhan. Dibiarkan usah sesekali, kelak ianya tidak lagi warna yang indah kerana hitam tadi menutup seri warna, tidak mustahil memudarkan hingga hilang asli warna asal.

Kita mempunyai pilihan untuk menjadi orang yang bahagia kerana kita yang mencorak warna tadi. Andai kita memilih untuk menerima kemaafan dan melupakan kesalahan yang dilakukan oleh orang lain, itu petanda kita tidak mahu ianya berlarutan, tergantung hingga hilang rasa bahagia... atau mungkin kita bisa memilih untuk lari daripada masalah tadi dengan cara berdiam diri dan masih tidak melupakannya, maka kita sengaja memilih jalan cerca.

Bagi orang mukmin, dia perlu tahu tidak semua perkara bisa dilakukan tanpa had, persempadanan tindakan kita telah ditentukan oleh syariat (cara hidup islami). Sedarnya kita ialah kita hanya seorang hamba, Dia ialah Penguasa sekalian hamba. Justeru itu, kita sentiasa ingat kepada siapa kita pertontonkan amal dan kebaikan, walaupun sedikit dihargai oleh manusia kerana dia juga seorang hamba tapi kita ingin mencapai anugerah tiada tandingan daripada Pencipta sekalian hamba.

Bermula dengan hidup sederhana, kita diajak mendidik hati supaya tunduk pada kekuasaan Dia yang serba kuat, dan tidak kalah oleh segala kelemahan. Kaya kita bukan susah untuk bersederhana kerana apabila kita menzahirkan kesederhanaan itu sudah pasti mematikan sikap egois. Kelemahan hadir tidak mengira apa jua status anak adam itu... miskin jika tidak ditangani dengan baik supaya adanya kaya budi dan kaya hikmah, sudah pasti jurang untuk jatuh ke lembah kelemahan tunggu saat dikuburkan. Kaya pula apabila egois tadi dibiarkan menguasai diri, mudah sahaja kekayaan tadi melapah sebuah budi, zuhud, pekerti kerana sudah lemah... lemah daripada deria sifat mahmudah.

Konsep penjagaan diri ini meliputi luaran dan dalaman manusiawi. Kita akan lihat, sifir paling mudah sikap luaran akan mengambarkan sikap dalaman seseorang kerana tidak mustahil perihal dalaman yang amat sulit dikerjakan akan berlarutan hasil didikan luaran.

Kita pasti risau, apabila melihat lelaki yang tidak mengambil kisah kebersihan kolar baju dan kolar lengan, begitu juga teramat risau apabila seorang perempuan acuh tidak acuh akan kebersihan tudung yang dipakai. Orang-orang seperti ini lebih berpotensi untuk meninggalkan amalan sunat dalam ibadat... hilang tama’ninah dalam solat, gosok gigi sebelum solat subuh, dan merata air ke seluruh badan ketika mandi wajib. Golongan ini lebih berisiko dijadikan pasangan hidup berbanding mat rempit yang bertahajud di atas jalan, dan minah senget di hulu kampung.

Bunyinya nampak aneh sahaja, bukan? Tapi itulah realiti.

Mungkin sahaja golongan cerewet tentang kebersihan lebih berisiko, kerana mereka bukan sahaja tahu akan tuntutan kebersihan, tapi sinis untuk melaksanakan. Mereka ini lebih liat untuk mendengar nasihat kerana sikap tahu tapi tidak buat tadi menumbuhkan egois di hati... sedangkan golongan kedua, mat rempit dan minah senget yang tidak tahu apa-apa akan mudah mendengar kata apabila menerima teguran baik-baik secara baik.

Contoh paling mudah; kita lihat dan dapati siapa paling liat untuk datang berusrah? Di kalangan ahli yang serba-serbi tahu kononnya, atau mereka yang sedang tercari-cari nur hidayah? Jentik hati tanya iman.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan kepadanya jalan keluar, dan mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tiada dia sangka-sangkakan” at-Talaq (65:2-3)

Maka kita telah kalah pada satu sikap mazmumah, iaitu ego. Sikap ini akan terus menebal jika tiada racun mematikan akar bahagian punca tumbuh sifat buruk ini. Kita boleh didik diri kita jadi seperti apa kita lihat, baik dan buruk terserah kepada tangan kita memilih dan kaki kita melangkah. Tapi kita harus sentiasa sedar mush-musuh Allah Taala tidak pernah tidur, nafsu dan syaitan akan terus menusuk jarumnya di setiap kelalaian kita. Mereka lebih cepat merebut peluang di setiap ruang yang terhidang.

Bermula daripada sikap sederhana tadi, maka akan lahir sifat zuhud, budi pekerti mulia. Kita akan terus memandu kehidupan, akan terus mencorak warna-warna indah sebelum kita dijemput untuk menuntut hasil keindahan tadi di hadapan Allah Azza Wajalla.

Akhir kata, rencah kehidupan itu tidak pernah surut dengan seribu satu kegembiraan dan kedukaan,dan mungkinkah frasa hidupku untuk kali ini diselubungi kedukaan kerana kelak Allah mahukan pelangi keriangan untukku? Ya Allah bantulah aku menghadapi segala mehnah dunia ini dan permudahkan urusanku hari ini, ampunilah dosa yang aku lakukan secara sedar mahupun tidak dan terimalah amal ibadatku.

Nota 1: All that a woman wants is an assurance. The rest comes later. Unlike women, all that a man wants is a trust. The rest will be simple. If they both give and take, harmony is their rhyme. Note: I’m a woman. And so I do.
Nota 2:  Kepada yang membuta tuli meluahkan perasaan dan menghemburkan segala kemarahan tanpa memikirkan perasaan orang lain dan situasi orang lain, ingatlah hari ini mungkin engkau mampu tersenyum setelah memuaskan nafsu marahmu, tapi ingatlah Allah swt itu maha adil. Jika tiada manusia yang mampu mengajarmu erti hormat orang lain, Ingat Allah swt itu masih ada dan DIA yang menciptamu.
Nota 3: 5 Julai semester 4 bermula, tak sabarnya....
Nota 4:  Jom Ke Surau program terbaru di perumahan saya, meh pakat ramai2 join...

No comments: