Thursday, October 14, 2010

Masa Muda Adalah Pengalaman Di Masa Tua


PERJALANAN ini masih jauh untuk sampai ke destinasi matlamat. Senang atau sukar untuk menempuh perjalanan itu sememangnya perlu menempuh fasa yang panjang yang bernama PENGALAMAN. Pendakian ini mungkin sukar untuk direalisasikan kalau sekadar hanya membawa bingkisan ilmu, segulung ijazah bukan ukuran tepat menilai kejayaan seseorang dalam hidup, tapi lebih pada melihat seberkas nilai hidup digunakan sebaik mungkin.

Namun ramai yang mengejar segulung kertas itu, berbanding mencari harga sebuah hidup.

Mungkin kebanyakan yang mengalami sindrom ini di kalangan anak muda.

Anak muda sering digambarkan sebagai produk bernilai bukan sahaja dari aspek agama, sesebuah negara berdaulat juga memerlukan anak muda yang berpotensi dari sudut akhlak peribadi, pekerti baik di samping mempunyai keilmuan tinggi di dada.

Hari ini saya belajar sesuatu yang cukup berharga daripada murabbi, Al-‘Alamah Al-Faqeh Sheikh Dr Ali Jumaah Al-Azhari menggali khazanah di telaga bernama ilmu, lantas ilmu tersebut mampu melahirkan manusia yang tawadhu’. Tawadhu’ ini kemuncak tertinggi untuk membentuk manusia baik akhlak, dan menyuluh perjalanan yang masih jauh.

Mengajar manusia normal, aqel baligh bukan mudah seperti kita mengajar monyet panjat pokok kelapa. Makin berilmu seseorang-andai tidak dipandu oleh iman, sikap sombong, takbur, ego makin menjadi-jadi. Ada ilmu, tapi diguna pada jalan salah dan berkepentingan peribadi. Maka kefahaman yang jelas pada ilmu-ilmu perlu dihadam oleh setiap manusia.

Perlu pada Al-Hikmah.

Benar, kebijaksanaan.

Fahamilah, di antara pejalanan hidup yang masih panjang buatlah sesuatu yang boleh dimanfaatkan, ianya suatu pengalaman yang sangat berguna. Jangan sia-siakan semangat kemudaan kalain, kerana apabila tibanya tua bukan sahaja susah, payah membuat kebajikan, malah mengumpul pengalaman di kesenjaan usia akan meninggalkan masa berharga bersama orang tersayang. Ilmu membentuk manusia bersarjana, berintelek. Manakala masa dan pengalaman yang dicari bakal membekaskan kebijaksanaan pada sebuah tindakan.

Menempuh dan menyaksikan pelbagai kitar usia manusia dan belajar daripadanya adalah pengalaman tiada tolok bandingan. Banyak peristiwa yang berlaku dan percubaan demi percubaan yang pernah diambil di sepanjang perjalanan hidup telah pun sampai kepada natijahnya. Natijah akhir ini akan mematangkan setiap daripada kita membuat sesuatu keputusan hidup, ilmu juga pasti memandu bersama.

Apa lagi kita mahukan dalam hidup? Kalau bukanlah seberkas keredhaan-Nya sebelum dimakamkan.

Nota1: Alhamdulillah, masih dalam kesihatan yang baik....maaf lama biarkan blog  ini  dibiarkan sunyi tanpa entry terbaru....saya betul sibuk dengan urusan pengajian, usrah, dan kerja-kerja kebajikan serta kerja part-time saya...
Nota2: Insya Allah pada isnin depan 18/10/2010 berakhir segala aktiviti utk semester ni, boleh fokuskan pada final exam saya yang akan bermula 25/10/10....Doakan segalanya dipermudahkan...
Nota 3: Saya rindukan sahabat-sahabat saya... :)

No comments: