Thursday, January 28, 2010

Aku Perlukan


Aku Perlukan Kekuatan

Ya Allahu Ya Aziz,
Aku hambamu yang lemah,
Hati ini memerlukan kekuatan,
Untuk menghadapi sisa-sisa hidup,
Yang sukar dibatasi,
Kerna kemodenan arus duniawi,
Yang semakin hapus kearah ukhrawi.

Ya Allahu Ya Malik,
Pohon ku di dunia ini,
Kuatkan semangat hambamu yang beriman,
Dalam mengatur langkah di dunia ini,
Agar mereka menjadi contoh,
Teladan kepada setiap insan,
Yang menghampiri kelalaian terhadapMu.

Ya Allahu Ya Qahhar,
Kuatkan hati setiap muslim didunia ini,
Teguhkanlah iman mereka,
Agar mereka terus menerus memujiMu,
Izinkan mereka mendapat hidayahMu,
Sebenar-benar hidayah.
Penuhilah hati para muslim,
Dengan limpahan hidayah mu yang agung,
Agar mereka dapat memujiMu Ya Allah.

Ya Allahu Ya Hafiz,
Peliharalah hati kami ini,
Agar tidak dilimpahi dengan maksiat,
Peliharalah hati kami dari segala noda dunia,
Limpahilah hati kami dengan iman,
Peliharalah kami dari kesesatan dunia,
Yang dipenuhi segala mara bahaya.

Ya Allahu Ya Mujib,
Kabulkanlah permintaan hambaMu ini,
Agar kami semua dilimpahi nur iman Mu,
Pimpinlah kami kejalan yang diredhaiMu.

Isikan hati kami dengan kebaikan agamaMu,
Lembutkan lidah kami untuk memujiMu,
Indahkanlah mata kami melihat ciptaanMu,
Maniskan mulut kami ketika menikmati rezekiMu,
Gagahkanlah kaki kami ketika berjalan untuk keredhaanMu,
Merdukanlah telinga kami ketika mendengar ayat-ayatMu,
Sinarilah kehidupan kami dengan nur iman Mu,
Bersihkan hati kami untuk menggapai redhaMu.

Berilah kekuatan untuk hambaMu ini,

Untuk meneruskan perjuangan ini,
Demi kemuliaan agamaMu Ya Allah.



p/s: aku mahu sekuatmu abi, kuat menghadapi hari-hari mendatang yang penuh cabaran dan dugaan dalm membesarkan kami...

sumber :www.iluvislam.com

Friday, January 22, 2010

Warkah Kasih Buat Kamu

Alhamdulillah, di dalam kesibukan saya, masih sempat untuk mengisi utaian manik-manik di lembaran ini. Pasti ada antara para sahabat yang menunggu buah tangan terbaru saya. Terima kasih untuk itu.
Untuk entry kali ini, izinkan saya berkongsi warkah kasih ini yang ditulis sebagai menemani kedukaan seorang sahabat lama yang sedang meratapi pemergian abang tercinta. Mudah-mudahan sedikit terubat kelaraan Qalbunya menahan tusukan halus jarum kesedihan ini.
Inilah isi kandungan Warkah Kasih Buat Kamu Muhammad Khalid
Buat teman Ku dikasihi,

Bangkitlah...
Baik buruk perjalanan hidup kita di atas hamparan duri dunia, masih ada lagi yang sudi menghulur tangan, memberi kasih dan sayang, dan turut merasai keperitan diari tersurat, memberi harapan di sebalik tersirat. Tiada hati paling sempit daripada manusia yang alpa mengingati Allah, tiada jiwa paling resah daripada manusia menggantungkan hatinya selain kepada Allah Taala.
Tidak cukup dengan apa yang ada, dan terus haloba dengan apa yang tiada.
Wahai teman...
Aku mengerti dengan apa yang sedang menimpa dirimu. Aku bisa merasai kesedihan demi kesedihan menimpa dirimu. Jatuh, dan jatuh lagi. Hinggalah kamu bangkit dalam perjuangan hidup yang telah menelan ramai manusia yang kering daripada rahmat Ilahi. Di saat kamu bangkit, tiada siapa yang sudi ambil tahu dan mahu. Kepulangan abangmu tersayang ke rahmatullah menambah lagi liku-liku hidupmu, menambah lagi bebenan yang sedia ada. 
Aku tahu, aku mengerti...
Saat aku menulis  ini, mungkin engkau masih meratapi pemergian abangmu tercinta. Namun kamu tidak perlu bersedih, kerana masih ada aku dan teman-teman yang setia di sisi. 
Abangmu yang telah meninggalkan kenangan indah bersamamu sebagai anak lelaki harapan keluarga. Kenangan yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hidupmu. bercindai, tawa, suka, ukiran senyuman dan semua yang ada pada arwah abangmu akan menjadi ubat di saat kamu merindukan belaian seorang abang darinya.
Maafkan aku teman. Andai di saat aku menikmati keindahan pelangi cinta dan kasih bersama insan tersayang di sisi, tidak pula dirimu yang dipaksa menongkah kedingingan dan kepanasan mehnah keseorangan tanpa bumbung menangkis kerakusannya merobek jiwa kecilmu.
Sebenarnya, arwah abangmu jua tidak mahu perpisahan ini berlaku di saat kamu perlu bangkit meredah, membaca suratan dunia yang berpuakan ini. Namun Tuhan berkehendak lain. Bukan kerana Dia benci kepada abangmu tapi karena Dia menyayangi abangmu dari yang lain. Dia tidak menghendaki abangmu menderita dengan menahan rasa sakit yang berpanjangan. Aku yakin, itulah jalan yang terbaik bagi abangmu. Kerana Dia selalu memberikan yang terbaik bagi Hamba-Nya.
Engkau tidak perlu menyesal dengan semua yang telah berlaku sepanjang pemergian abangmu mengadap Tuhan Esa, kerana aku yakin kalau semua itu akan menjadi keinginan abangmu yang terakhir. Aku mengerti perasaan itu tidak bisa dibohongi, apatah lagi menyembunyikan kebenarannya. Aku tahu engkau sangat kasihkan arwah.
Ingatlah Allah di kala dukamu ini.
Tiada Syurga paling indah tika hidup di dunia melainkan ketabahan semasa rebah, kesabaran semasa meredakan baran. Tiap-tiap saat di titisan keringat itu meluaskan lagi hamparan istana di Syurga akhirat-mu nanti. Ingatlah Dia, pasti Dia memandang keperluanmu di kecercaan menakutkan ini. Ujian ini, adalah tanda kasih dan cinta-Nya kepadamu. Dia telah memilih dirimu antara seribu. 
Hargailah untuk kamu berubah.
Wahai teman...
Jujurnya, aku sepatutnya berasa dengki dengan keadaanmu. Aku tidak pernah teruji seperti apa diuji kepada dirimu ini. Malam pasti berlalu, bebelengu pasti patah. Dunia ini tidak pernah membiarkan seseorang hidup kekal, dan tidak pula membiarkannya dalam suatu keadaan yang beerti. Kamu mesti keluar dari kepompong ini secepat mungkin, demi janji-janji Ilahi kepada setiap hamba-Nya. Kamu pasti...
Katakanlah kepada kaum Badwi itu, sesungguhnya engkau telah dibebaskan dari perjalanan di malam hari yang kelat, gelap gelita yang pekat dan dari menempuh padang sahara yang jauh, panas lagi meletihkan. Tinggalkan kisah silam yang menjenuhkan itu. Mulakan langkah sekali lagi.
Kita pasti bangkit.
Engkau tidak perlu meminta maaf. Sebelum helaan nafas terakhir abangmu, dia sudah memaafkan dirimu. Justeru, mulakan diari hidupmu yang baru, simpanlah diari lama ini agar ianya masih segar diingatan, yang sudi menemanimu, mengagahi langkahmu, dan menjadi tempatmu bermanja senda.
Kini abangmu telah pergi. Terimalah hakikat takdir-Nya. Tentu arwah tidak akan kembali melakar diari baru bersamamu. Engkau adalah engkau.

Bangkitlah...

--eelya khadeeja--
Peraih Cinta-Nya

Thursday, January 21, 2010

Kalau Suamiku Seorang Ustaz

Sejak petang semalam, saya terfikir-fikir tentang satu perkara ini. Ini semua ilusi saja. Yang saya bayang-bayangkan. Bukannya betul-betul terjadi. Apa yang saya fikirkan ini memang tidak berapa munasabah sangat tapi tidak mustahil boleh terjadi.

Saya terfikir, kalaulah saya berkahwin dengan seorang ustaz, satu hari nanti dia melarang saya menulis blog. Kata dia, blog ni banyak yang direpekkan daripada kenyataan. Uish. Mati kutu saya nanti.,  sebabnya blog ini lah tempat saya kongsikan segal-galanya, tempat yang boleh saya kongsikan susah payah suka duka hidup menumpang di negeri orang dulu, tiba-tiba disuruhnya berhenti menulis. Uuuu… Apa saya nak buat masa tu nanti? Pilih blog atau pilih suami? Haha.

Lagi, saya terfikir. Mahukah seorang ustaz menerima cara saya seadanya? Saya ni biasa-biasa saja orangnya. Saya bukannya bertudung labuh bulat. Saya bertudung segitiga berbidang 60 sahaja. Saya takut, mula-mula nak kahwin tu mungkin dia tidak kisah. Mungkin katanya, asalkan lengkap berstokin, pandai jaga adab, itu sudah mencukupi. Tapi dibuatnya lepas kahwin nanti disuruh memakai tudung labuh bulat, saya mesti macam terkena renjatan elektrik. Mungkin saya belum bersedia untuk berimej begitu atas tuntutan status saya pada masa ini. Hmm… Entahlah. Pening kepala bila fikirkan hal ini. Huhu.

Lagi, saya terfikir. Bolehkah nanti untuk saya menyesuaikan diri dengan keluarga dia yang baik-baik semuanya. Maksud saya, kebanyakan ustaz mempunyai latar belakang keluarga yang dihormati dan disanjung oleh masyarakat setempat. Dibuatnya saya berkahwin dengan ustaz, di universiti nanti saya dilihat bersama pelajar lelaki duduk semeja berbincang tentang pelajaran, nanti maruah keluarga suami saya pula yang disebut-sebut. Katanya, apa punya menantulah yang keluarganya miliki. Saya tak mahulah hal itu terjadi. Tak pasal-pasal nama baik keluarga mereka tercemar. Dilema betul bila hal itu terjadi.

Lepas tu, malam tadi saya tidak lelap tidur. Sudah pukul 3 pagi tu, saya terjaga terus. Saya terkebil-kebil saja. Sekali lagi lamunan saya pasal berkahwin dengan ustaz ni kembali menjelma. Kalaulah dibuatnya saya kena berkahwin dengan ustaz, ada banyak kelebihan yang saya akan dapat. Setiap hari dapat mendengar dia mengalunkan Al-Quran dengan bacaan yang merdu. Oh. Memang impian hatiku. Kalaulah dia seorang Haafiz Al-Quran, lagilah banyak kelebihannya. Bila berjemaah bersamanya, dia boleh membaca surah-surah yang lebih panjang dengan alunan ala-ala kebanyakan para Haafiz gunakan. Suka betul saya.

Tapi, orang biasa yang bukan seorang ustaz pun ramai yang boleh mengalunkan Quran dengan merdu. Ramai yang hafal surah-surah panjang untuk dijadikan bacaan dalam solat. Ramai yang baik-baik. Cuma status mereka bukan ustaz saja.

Oklah. Tamat di sini saja repekan di petang hari ini, sekadar mengisi masa rehat sebelum menunggu solat magrib. Mimpi apalah agaknya kalau saya betul-betul bersuamikan seorang ustaz ya?


Nota 1: Jari jemari tidak mampu bertahan lama apabila tidak melakukan senamannya( berbloging) huhu....

Nota 2: Ini adalah entry pertama yang saya labelkan soulmate...

Nota 3: Takziah buat keluarga teman baik saya Muhammad Khalid Bin Shahruddin, ynag kehilangan abg tercinta kerana menghidap luekimia, semoga roh dicucuri rahmat..amin

Monday, January 18, 2010

Berehat Seketika

Assalamualaikum wbt,

maaf atas kelewatan saya mengupdate kan teratak usang yang sudah bertimbun-timbun dengan debu ini,

terlalu banyak perkara baru berlaku dalam hidup saya seminggu dua ini, persekitaraan baru, rutin harian yang baru, sahabat yang baru, orang baru disisi, arghhh dan macam-macam lagi, yang menuntut saya untuk mengutamakan yang utama...

namun saya tahu ada diantara pembaca yang tidak jemu membuka teratak usang ini untuk menantikan khabar terbaru dari saya, maaf buat kalian ternanti-nanti...

sekadar untuk pengumuman, teratak ini akan berhenti seketika dari produktivitinya, mungkin sebulan, dan mungkin 2 bulan dan mungkin satu semester pengajian saya yang baru hendak bertatih ini....semua bergantung pada keadaan, cuma apa yang pasti tiada artikel terbaru mahupun entry baru mengkhabarkan pada kalian semua akan kondisi diri ini, kerana kesibukkan telah membataskan segalanya, andai ada sesuatu yang saya perlu beritahu, insya Allah saya akan SMS kan pada kalian, mahupun update secara ringkas di Facebook mahupun twitter.

sekadar pemberitahuan, saya tidak mahu pembaca semua terus ternanti-nanti...

saya tahu penantian itu satu penyiksaan...


Salam sayang buat semua pembaca, saya sentiasa berdoa kalian semua sentiasa berada di bawah perlindungan dan rahmat-Nya..

Saturday, January 02, 2010

Cerita 2009 ( Edisi Pertama)

2009 dan saya : Apa Ertinya?

Sekejap sahaja rasanya masa berlalu, teringat kembali detik malam 11.59mlm, orang ramai berkumpul menanti detik sambutan tahun baru di serata tempat. Ada yang berkumpul di KLCC, ada di dataran merdeka dan banyak laagi tempat lain. Tak kurang juga yang mengambil kesempatan dan peluang yang ada sempena sambutan tahun baru ini untuk menyaksikan pertunjukkan bunga api dengan penuh bercahaya.

Namun bagi saya, lebih selesa untuk saya berehat di rumah dan melihat semua sambutan itu hanya melalui siaran televisyen sahaja. Memikirkan percampuran antara lelaki dan perempuan yang tiada batas dengan keadaan larut malam dan merbahaya, antara faktor penyebab saya tidak pernah menyertai mana sambutan tahun baru di luar. Bagi saya perubahan tahun seperti 2008 ke 2009 dan 2009 ke 2010 hanyalah satu peralihan angka, bukan lah satu sambutan yang perlu diraikan seperti Awal Muharam. Saya tidak membalas mana-mana sms tahun baru yang diberikan mahupun menerima mana-mana ajakkan sahabat unutk keluar menyambut tahun baru, maaf andai ada yang berkecil hati. Program Task Force anjuran KARISMA yang dijadualkan pada malam tahun baru juga saya biarkan sahaja.

Cuma, apa yang membuatkan saya ingin menulis mengenai 2009 ini adalah kerana....

2009 sangat membawa erti dalam kehidupan saya, kehidupan saban hari dilalui dengan memikul tanggungjawab sebagai anak, daie, pelajar, kakak kepada 5 adik-adik, dan hamba Allah. Sesungguhnya peristiwa sepanjang 2009 yang berlaku secara terancang mahupun tidak telah mendewasakan saya unutk berfikir lebih rasional, bercakap dengan penuh hikmah, bertindak dengan penuh sopan, bekerja dengan penuh ikhlas dan menyedarkan saya akan besarnya tanggungjawab yang perlu dipikul saban hari serta Allah swt itu cinta yang Agung Seagungnya..

Andai ada yang bertanya kepada saya, saat manakah dalam frasa hidup saya ingin saya kenang dan terindah?

Pantasnya saya pasti menjawab: sepanjang 2009 adalah jawapannya.

Nota 1: Insya Allah akan ke Kompleks PKNS petang ini, sekadar meluangkan masa untuk adik-adik yang akan kembali ke asrama meneruskan sesi persekolahan 2010.

Draf Cerita 2009

Terkini Dari Keyboard Dunia Khadijah

Masih dalam proses menyiapkan satu entry bertajuk Cerita 2009

Cerita 2009, merupakan hadiah saya buat semua pembaca setia  "Dunia Khadijah"

Antara is-isinya..

  • 2009 dan saya : Apa ertinya?
  • Apa suka dan duka sepanjang 2009
  • Cerita Kedai kopi sepanjang 2009
  • Azam 2009 saya bagaimana?
  • Apa sepatutnya berlaku pada 2009?


dan bermacam-macam lagi peristiwa sepanjang 2009 yang berlaku dan meninggalkan kesan pada saya...insya Allah saya coretkan ikhlas buat tatapan semua...


Nota 1: Tema blog yang baru, berubah kepada sesuatu yang lebih simple dan kemas